Cipta kemenangan sulung, Teong Kim ada pesanan buat fans Perak FC


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Perak FC akhirnya mampu menarik nafas lega selepas mengumpul tiga mata berharga berdepan Kuching City FC. — Facebook/MFL

KETUA jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim memuji ketajaman dipamerkan jentera serangan pasukannya bagi memastikan skuad Seladang berjaya melakar kemenangan sulung dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Kuching City FC 2-0 di Stadium Perak, pada Ahad.

Beliau berkata, meskipun diberikan tekanan oleh pihak lawan, dua peluang keemasan yang diperoleh pada setiap babak berjaya diterjemahkan kepada jaringan oleh jentera serangan The Bos Gaurus.

"Saya berharap tiga mata yang diraih ini akan menjadi titik tolak untuk Perak meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Saya juga amat mengharapkan penyokong membanjiri stadium selepas ini kerana sokongan mereka akan menyuntik semangat dan kesungguhan pemain untuk terus mencipta kejayaan,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Teong Kim turut berpuas hati dengan aksi dipamerkan penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor walaupun hanya mencetak satu jaringan selepas tampil dalam tiga perlawanan liga.

"Bagi saya, bukan sahaja jaringan yang perlu dijadikan ukuran sebaliknya usaha dalam bertahan dan menyerang itu perlu dititikberatkan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan Obiozor,” katanya.

335406905_924429585263132_4240912488197727349_n

Obiozor (kanan) tetap dipuji kerana berusaha menjaringkan gol buat Perak FC. — Facebook/Perak FC

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 4,000 penonton itu, dua gol The Bos Gaurus dijaringkan oleh pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung pada minit ke-41 dan 58.

Susulan kemenangan itu, Perak kini mengumpul lima mata sekali gus melonjak ke kedudukan keenam dalam saingan Liga Super manakala Kuching City berada di tempat ke-10 dengan kutipan tiga mata.

Sementara itu, penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin menyifatkan kekalahan yang menimpa pasukannya disebabkan aksi buruk dipamerkan oleh keseluruhan pemain sepanjang tempoh 90 minit permainan.

"Kami kalah bukan disebabkan Perak bermain begitu baik tetapi pemain kami terlalu banyak melakukan kesilapan dan peluang yang dicipta gagal disudahkan menerusi jaringan,” katanya.

Sulaiman berkata, untuk perlawanan selepas ini, barisan pemainnya perlu bangkit dan tidak melakukan kesilapan mudah sekiranya ingin mencipta kemenangan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram