Lepas Teong Kim, giliran TFC guna jirus air 'Pak Cik Jampi' raih kemenangan sulung


  • Podium
  • Isnin, 13 Mac 2023

Kulmatov (tengah) sewaktu meraihkan jaringannya buat Terengganu. — Facebook/TFC

SELEPAS mengharungi tiga perlawanan aksi Liga Super musim 2023, Perak FC akhirnya melakarkan kemenangan sulung dengan menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh pada Ahad.

Kemenangan dan kutipan tiga mata berharga itu diraih skuad Seladang menerusi jaringan dari penyerang import dari Korea Selatan, Seo Seonung pada minit ke-41 dan minit ke-58.

Di sebalik kemenangan skuad The Bos Gaurus (TBG) itu, ada juga penyokong yang bergurau bahawa Datuk Lim Teong Kim akhirnya menemui 'bomoh' untuk membantu Perak FC meraih kemenangan pertama mereka.

Mana tidaknya, sebelum ini, pengendali Perak FC, Teong Kim pernah berseloroh untuk menggunakan bantuan bomoh Indonesia bagi menambah baik prestasi pasukannya dalam saingan Liga Super.

Lebih menarik apabila bukan hanya Teong Kim yang bergurau menggunakan khidmat bomoh kerana giliran pasukan Terengganu FC (TFC) pula dikenal pasti diam-diam mempunyai senjata rahsia ketika meraih kemenangan sulung menentang PDRM FC.

Menerusi video tular di TikTok, seorang penyokong skuad Hitam Putih dilihat menuang air mineral sewaktu perlawanan Terengganu menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.

Dalam hantaran yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Rilex Are Boh itu menunjukkan seorang penyokong membaca doa seperti azimat dari tempat duduk penonton sebelum dia menuang air mineral ke atas permukaan padang.

Meskipun ia hanyalah gurauan semata-mata namun ada penyokong TFC yang mengimbau kembali ucapan Teong Kim mengenai menggunakan khidmat bomoh bagi mendapatkan kemenangan dalam aksi Liga Super.

"Betul dah jurulatih Perak katam kena guna bomoh," kata penyokong TFC, Kareng_7947.

"Boleh cuba ini semasa lawan Johor," komen seorang peminat TFC, Infinity yang terhibur dengan gelagat penyokong berlagak bomoh itu.

Untuk rekod, pada perlawanan menentang skuad Sang Saka Biru itu, tonggak pertahanan Terengganu, Sardor Kulmatov menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-76 permainan.

Ia merupakan kemenangan pertama skuad di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner selepas mencatat dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan Liga Super sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram