KEPUTUSAN seri yang dicatatkan ketika pertemuan antara Sabah FC dan Sri Pahang FC mengundang pelbagai topik perbualan hangat daripada penyokong bola sepak tanah air.
Aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang pada Ahad itu terpalit dengan kontroversi apabila ketua jurulatih pasukan pelawat, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah.
Namun, bagi penyokong skuad Tok Gajah, tumpuan mereka diberikan kepada kegagalan penjaga gol, Izham Tarmizi untuk menepis percubaan pertahanan Sabah FC, Daniel Ting.
Perkara berkenaan menyaksikan pasukan Borneo terbabit mendahului seawal minit ke-14 sebelum penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-26.
Tidak cukup dengan itu, persembahan kurang meyakinkan juga menjadi perhatian ramai apabila bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) tersebut sukar untuk menangkap hantaran tinggi pihak lawan.
Izham masih belum mendapatkan rentak terbaik bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun Sri Pahang ketika ini masih belum tewas, penyokong pastinya berharap isu berkenaan dapat diselesaikan menjelang aksi bertemu Perak FC di tempat lawan pada Khamis.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, mereka berpendapat Izham perlu digugurkan ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan digantikan dengan penjaga gol lain.
"Penjaga gawang, Izham Tarmizi dilihat seperti lebih merisaukan berbanding Zarif Irfan Hashimuddin kerana dia terlalu mudah kehilangan bola," kata Mohamad Faez Seferagic.
Zarif sudah mengumpul beberapa penampilan Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
"Aku pun tak faham mengapa Zarif Irfan tidak diturunkan kerana dia main dah cukup bagus, tetapi pihak kejurulatihan pula meletakkannya di bangku simpanan," kata Samsul Bahri.
"Tubuh penjaga gol yang kecil. Apabila bola tinggi, dia lemas dan terkapai-kapai seperti anak ayam. Sri Pahang patut buat sistem penggiliran," kata Mohd Izarul.
Izham sebelum ini pernah digugurkan daripada kesebelasan utama akibat masalah kecederaan yang dialaminya ketika aksi pembukaan Liga Super berdepan Negeri Sembilan FC.
Mereka ketika ini berada di kedudukan keempat liga dengan enam mata berjaya dikumpul selepas empat perlawanan dengan empat gol sudah diboloskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram