SETELAH empat perlawanan Liga Super, Perak FC akhirnya dapat menarik nafas lega apabila mencatatkan kemenangan pertama ketika berdepan Kuching City FC.
Keputusan tersebut pastinya sudah ditunggu lama penyokong apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) sudah agak lama tidak berada dalam moral terbaik.
Meskipun pihak pengurusan sudah melakukan rombakan demi rombakan sepanjang jendela perpindahan yang lalu, mereka masih bergelut untuk menterjemahkan kejayaan itu di atas padang.
Ini apabila mereka memulakan kempen Liga Super dengan kekalahan di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-4 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada hujung Februari lalu.
Mereka kemudiannya mencatatkan dua keputusan seri berturut-turut berdepan PDRM FC dan Kelantan United sebelum tersingkir di peringkat awal Piala FA di tangan Sri Pahang FC.
Dua gol Seo Seonung memberi kelegaan buat skuad kendalian Teong Kim. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, kemenangan ke atas skuad The Cats itu pasti melegakan ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim yang sebelum ini pernah berseloroh mengenai prestasi pasukan.
Ketika seri di tangan PDRM FC, jurulatih kelahiran Melaka itu berkata mereka memerlukan khidmat bomoh dari Indonesia untuk menyelesaikan isu jentera serangan pasukan.
Perkara itu sekali lagi dibangkitkan dalam satu sesi temu bual bersama Majoriti apabila timbul pula idea menggunakan bomoh dari Jerman.
Namun, dalam pertembungan pada Ahad itu, jelas bahawa Teong Kim perlu memberi penekanan terhadap khidmat pemain kelahiran Korea Selatan, Seo Seonung.
Dia yang menjaringkan dua gol berdepan anak-anak buat Irfan Bakti Abu Salim sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Perak FC.
Meskipun pemain berkenaan sebelum ini dilabel pembelian panik, kebolehannya untuk mencipta gandingan bersama rakan sepasukan sudah cukup membuktikan bahawa kehadirannya cukup penting.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Teong Kim berada di kedudukan keenam Liga Super sementara Kuching City FC hanya perlu berpuas hati di kedudukan ke-10.
Perak FC bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur, Pahang pada 16 Mac bagi perlawanan kelima mereka menentang Sri Pahang FC dalam kancah Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram