'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca buat kali keempat. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KAMERA televisyen memaparkan Datuk Lim Teong Kim ketawa besar bersama barisan pegawai dan pemain simpanannya di tepi padang sejurus sebelum sepak mula perlawanan Perak FC-Kuching City FC di Ipoh, pada Ahad.
Harus ada sesuatu yang mencuit hati mereka atau ia petanda keyakinan skuad The Bos Gaurus itu akan mengukir kemenangan pertama dalam Liga Malaysia 2023 selepas kebuntuan dalam tiga perlawanan terdahulu.
Teong Kim segera menepisnya sebagai bukan sesuatu yang berkaitan dengan deria keenam, naluri atau bisikan hati terhadap apa yang bakal terserlah sepanjang 90 minit berikutnya.
Perak FC memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri untuk meraih kemenangan 2-0, kedua-duanya hasil jaringan pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung, untuk kini melonjak ke tangga keenam dengan lima mata selepas empat perlawanan.
Seonung menjadi wira buat Perak FC apabila menghadiahkan kemenangan pertama skuad The Bos Gaurus. — Facebook/PerakFC
“Ketika kamera tv dihalakan ke kami, saya menyatakan kepada doktor pasukan: ‘Ketawalah sekarang. Selepas sepak mula, mungkin kita tak mampu ketawa lagi.
“Saya juga menyakat Hasnul Naim (pemain simpanan) jika dia ada membawa set mekapnya. Alang-alang ditumpukan kamera, kami semua mahu kelihatan kacak,” ceritanya di sebalik momen berkenaan.
Ia bukan sekadar momen itu, malah suasana di bilik persalinan turut berubah seusai perlawanan apabila pemain-pemain Perak FC meraikan kemenangan sulung mereka dengan hingar-bingar.
“Pemain-pemain saya amat gembira. Mereka berhak kepada kemenangan ini. Mereka telah bekerja keras tapi kerap dihampakan dan kali ini mereka mendapat habuannya,” katanya.
Malah, menurut jurulatih itu, dia memiliki naluri yang baik bagi setiap perlawanan, termasuk aksi yang mereka tidak menangi, kerana penting untuk jurulatih sentiasa berfikiran positif.
Teong Kim akui suasana di bilik persalinan turut berubah seusai kemenangan menentang skuad The Cats. — Facebook/PerakFC
Di sebalik kemenangan pada Ahad itu, Teong Kim enggan terburu-buru menyatakan ia adalah titik peralihan buat pasukannya atau pendekatan P&P (process & progress) yang diterapkannya sudah mula membuahkan hasil.
“Kami perlu melihatnya selangkah demi selangkah. Lihat dulu apa kesudahannya dalam perlawanan berikut (menentang Sri Pahang di Ipoh, Khamis ini).
“Saya dan pemain-pemain cuma gembira bahawa kami bukan lagi pasukan tanpa kemenangan.
“Pada saya, tidak ada pasukan lemah dalam Liga Super, termasuk Kuching City yang kami tewaskan malam tadi," ujarnya.
Teong Kim, dalam sidang akhbarnya selepas perlawanan itu, turut meluahkan rasa terkilannya dengan ketiadaan 'suasana' gara-gara kurangnya penyokong yang datang ke stadium.
Stadium Perak menyerlahkan banyak ruang tempat duduk yang kosong.
“Sepanjang saya bermain dalam liga tempatan, saya sudah terbiasa dengan suasana gegak-gempita daripada penyokong yang memenuhi stadium. Ia benar-benar menyuntik semangat pemain untuk berhabis-habisan.
“Saya dambakan suasana serupa di Stadium Perak,” tambahnya.
Namun, apa yang mungkin tidak diketahuinya, penyokong Ultras Perak yang menggelar diri mereka ‘The Supporters’ memilih untuk berbaju putih buat kali pertama pada Ahad – berbanding lazimnya berbaju hitam – sebagai tanda penghormatan mereka kepada jurulatih itu.
The Supporters memakai baju putih sebagai tanda penghormatan mereka kepada Teong Kim. — Facebook/PerakFC
“The Supporters berbaju putih dan berseluar pendek bagi menyatakan sokongan dan kepercayaan mereka kepada Teong Kim,” kata ketua pegawai operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmod.
Kebetulan, jurulatih itu gemar mengenakan baju putih dan berseluar hitam dalam setiap perlawanan.
Bagi Teong Kim, Perak FC tidak kekurangan ‘tarikan’ untuk mengajak lebih ramai penyokong ke stadium, dan tidak hanya didorong oleh keputusan semasa – ramai hanya ketika pasukan memiliki rentetan kemenangan dan merosot selepas menempa kekalahan.
“Dalam pasukan saya, ada ramai pemain ‘kacak’.
“Hasnul (Zaim), Hadi Fayyadh, Harith Naim, Raja Imran Shah, Shukri (Baharun), Farris (Izdiham), Ilham (Aqil), Amirul Akmal, Amirul Huzaini dan yang lain.
“Mereka boleh jadi ‘pempengaruh’ mengikut istilah media sosial hari ini untuk menarik peminat datang beramai-ramai ke stadium,” katanya.
Imran dan Hadi antara pemain Perak FC yang memiliki wajah tampan. — Facebook/PerakFC
Barangkali jurulatih itu terlupa menyenaraikan Seonung yang persis anggota kumpulan K-Pop.
“Dia tidak diturunkan menentang Sri Pahang FC (dalam aksi Piala FA, 8 Mac lalu) kerana sedikit kecederaan.
“Kembali beraksi dalam perlawanan malam tadi, dia menunjukkan skilnya dengan menjaringkan dua gol. Gol keduanya dengan sepakan lencong benar-benar mengagumkan.
“Sebagai pemain yang sangat berkemahiran, dinamik, memiliki teknik yang baik dan naluri semulajadi seorang pemain serangan, tentu saja dia boleh menjadi daya penarik buat pasukan," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram