SKUAD Piala Presiden Sri Pahang FC baru-baru tewas 0-2 ke atas Johor Darul Takzim III (JDT III) dalam aksi final kedua di Stadium Temerloh, Pahang.
Kemenangan JDT III secara agregat, 4-2, itu menunjukkan penguasaan skuad muda Harimau Selatan sudah bermula di peringkat muda lagi.
Namun, rata-rata penyokong Sri Pahang menganggap usaha ubi muda mereka walaupun tewas, tetap perlu dipuji dan boleh dijadikan pemain pelapis untuk skuad utama.
Tetapi ada juga penyokong yang berharap supaya lebih ramai lagi ubi muda dapat digali apatah lagi Pahang mempunyai pusat khas pemain muda.
Sebahagian daripada aksi pemain Sri Pahang dan JDT III. — Facebook/Johor Southern Tigers
Seorang penyokong SPFC, Badrul Zaman Lepeh berkata, pemain Piala Presiden tahun ini sudah boleh dinaikkan pangkat ke saingan liga simpanan tahun hadapan.
"Mana yang berpotensi boleh terus dinaikkan ke pasukan senior Liga Super. Ubi Piala Belia yang berpotensi boleh dinaikkan ke pasukan Piala Presiden.
"Boleh cuba scout pemain-pemain di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) atau Sekolah Sukan Seberang Temerloh.
"Apa guna ada sekolah sukan kalau tidak digunakan sebaik mungkin. Boleh juga ditambah pemain menerusi pemilihan terbuka," katanya.
Aksi pemain muda Sri Pahang mendapat pujian daripada penyokong. — Facebook/Johor Southern Tigers
Bersetuju dengan pendapatan tersebut, seorang lagi penyokong, Eddy Arman berkata, memang jelas kelihatan semangat pemain muda Sri Pahang.
Namun katanya, apa yang kurang adalah daripada segi taktikal dan kesemua mereka perlu belajar daripada kekalahan itu untuk kemenangan akan datang.
Jelas Eddy, selain daripada pencarian berterusan ubi muda, pihak pengurusan bola sepak Pahang juga perlu berubah sepenuhnya dari peringkat bawah sehinggalah ke atas.
"Sri Pahang sekarang amat jauh berbeza dengan JDT. Orang Pahang memang handal main bola. Tapi bila pengurusan hampas, tak ke mana juga kita ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram