AKTIF dan giat melakukan 'risikan' ke premis judi haram, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sekali lagi menyerbu masuk ke sebuah pasar raya yang dipercayai menjual nombor ekor haram di Taman Seri Wawasan, Kuala Kangsar, Perak.
Difahamkan, ia merupakan kali kedua beliau melakukan serbuan di kawasan itu selepas sebuah lagi pusat judi online turut menerima nasib yang sama pada awal bulan lalu.
Tegas dalam menjalankan tanggungjawab, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila melakukan serbuan dan memberikan amaran keras pada pemilik premis itu baru-baru ini.
Difahamkan, tinjauan itu dilakukan berhubung laporan yang diterima dari penduduk mengatakan premis berkenaan menjual nombor ekor kepada pelanggan beragama Islam.
"Taiko, saya dapat tahu awak jual judi punya nombor, saya tak mahu awak buka kedai ni dan jual judi ya.
"Saya kalau tahu awak jual nombor judi secara online, saya panggil polis tangkap," katanya.
Menurutnya, kedai yang berselindung di sebalik pasar raya runcit itu pernah menutup premis selama sebulan ketika operasi Ops Terjah dilakukan sebelum ini.
"Itu hari masa operasi awak tutup kedai sebulan kan, kalau masih jual lagi nombor ekor saya terus panggil pihak polis," tegasnya.
Pada 1 Ogos lalu, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengambil inisiatif menyerbu salah sebuah kedai didakwa menjalankan operasi judi dalam talian di Pekan Titi Serong.
Dalam satu video tular yang dimuat naik halaman Facebook MALAYSIA NEGARA KU menunjukkan Hasnul memarahi seorang individu yang didakwa menjual judi online.
Hasnul juga mendakwa kedai tersebut menipu dan cuba mengaburi pandangan penduduk setempat dengan menggunakan modus operandi membuka kedai menjual tambah nilai kredit.
Tindakan YB itu juga menerima pelbagai reaksi dan komen dalam kalangan netizen.
Wadah Hamka berkata, "Terbaik, ni bukan sebab nak mengundi tapi YB ni memang betul buat kerja tanpa mengambil kira musim mengundi ataupun tidak."
Mahmad menambah, "Ini baru YB yang buat kerja untuk rakyat, judi memang merosakkan masyarakat.. leka orang layan rosak anak-anak muda kita." katanya.
Menurut laporan di Facebook, YB Hasnul Zulkarnain akan sentiasa memantau dan menyampaikan maklumat kepada pihak polis bagi membenteras kegiatan judi haram online. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram