Remaja 14 tahun, teman lelaki didakwa culik bayi 9 bulan


Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa. — Sinar Harian

SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dan teman lelakinya didakwa secara bersama di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa atas pertuduhan menculik seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Tertuduh, remaja perempuan itu dan Muhammad Azrin Budimaeng, 18, yang merupakan pekerja sambilan kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesalahan itu.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali di hadapan Majistret, Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Kedua-dua tertuduh yang diasingkan ketika bangun mendengar pertuduhan dibaca dilihat tenang sepanjang prosiding.

Mereka bersama-sama didakwa mencapai niat bersama telah menahan dan melarikan secara salah bayi sembilan bulan di Pangsapuri Idaman Taman Pauh Perai, Pulau Pinang kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Mohammad Syafiq tidak menawarkan sebarang ikat jamin dengan alasan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh tidak boleh diikat jamin.

Beliau juga tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan satu kesalahan yang serius.

"Bagaimanapun, sebagai alternatif, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin, saya memohon jaminan tinggi dengan syarat yang ketat,” katanya.

Fatin Nabila Hussin yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

"Dalam kes ini, tertuduh pertama hanyalah seorang remaja berusia 14 tahun, bawah umur dan sangat muda.

"Dia anak bongsu antara tiga beradik dan tinggal bersama datuk dan neneknya yang berusia 75 tahun dan 68 tahun selepas ibu bapanya bercerai. Saya diberitahu ibu bapanya tidak berhubung dengan anak-anak mereka selepas bercerai.

"Selain itu, ini adalah kesalahan pertamanya. Bagi saya, anak guam saya adalah warganegara yang mematuhi undang-undang,” katanya.

Bagi Muhammad Azrin pula, Fatin Nabila berkata, tertuduh juga masih muda dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.

Katanya, anak guamnya merupakan anak kedua daripada lima beradik dan terpaksa membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja sambilan di sebuah restoran bagi membantu dua adiknya yang berusia 10 dan 11 tahun.

"Ibunya sakit dan bapanya tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Dia bekerja dua hari seminggu dengan pendapatan RM50 sehari.

"Dia juga seorang anak yang baik dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” katanya sambil memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana mereka memerlukan sokongan dan bimbingan daripada ahli keluarga mereka.

Nurul Rasyidah kemudian menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan kes sementara menunggu penyerahan dokumen.

Beliau turut membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, bagi tertuduh pertama (remaja perempuan), penjaminnya perlu terdiri daripada waris terdekat sama ada salah seorang daripada ibu atau bapanya.

Bercakap di luar mahkamah, Fatin Nabila berkata, beliau telah menghubungi bapa remaja perempuan tersebut yang bersetuju untuk menjaminnya.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang remaja perempuan bawah umur ditahan bersama empat individu lain termasuk teman lelakinya bagi membantu siasatan berhubung kes penculikan seorang bayi pada Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, remaja berusia 14 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya dan seorang lagi rakan lelaki mereka masing-masing berusia 18 tahun.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah pondok di Machang Bubok, Pulau Pinang selepas polis menerima laporan daripada bapa bayi tersebut yang berusia 26 tahun.

Kata beliau, serbuan pertama yang dibuat pada pukul 11.50 malam hari sama itu bagaimanapun tidak menjumpai bayi tersebut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram