'Terima kasih Izhar Moslim', RMS minta penyokong tidak terpengaruh unsur luar


  • Podium
  • Selasa, 30 Ogos 2022

RMS membuat rombakan agar kegemilangan Selangor dapat dikembalikan. — Bernama

SETELAH sekian lama mendiamkan diri biarpun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pengurusan pasukan Selangor FC rentetan kemerosotan prestasinya, akhirnya penyokong mendapat jawapan dari figura penting pasukan tersebut.

Pengerusi Selangor FC, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu kenyataan rasmi menepis segala dakwaan yang menyatakan terdapat parasit dalam pengurusan kelab itu.

Terdahulu, terdapat pihak yang mendakwa bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izhar Moslim dikatakan sebagai dalang di sebalik kemerosotan pasukan Selangor.

Tangkap layar teguran Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail kepada RMS.

RMS bukan sahaja tidak bersetuju dengan tuduhan tersebut, malah berterima kasih dengan sumbangan Izhar sepanjang berkhidmat bersama skuad Gergasi Merah.

Baginda juga sudah perkenan surat peletakan jawatan Izhar yang bertarikh 7 Julai lalu dan tidak lagi terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Gergasi Merah.

"Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan jutaan terima kasih buat Izhar di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau sepanjang berada di kelab ini.

"Untuk makluman semua, Izhar menyandang jawatan Naib Presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 dan beta melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada tahun 2020," titahnya.

Selain itu, RMS menjelaskan baginda sentiasa mengambil maklum situasi semasa Selangor dan menegaskan bahawa setiap gerak kerjanya di kelab berkenaan tidak perlu dipertontonkan dan dipamerkan di laman sosial.

"Untuk pengetahuan semua, setiap keputusan teknikal dan pengurusan kelab yang penting adalah berteraskan hala tuju yang beta tetapkan dan berasaskan perkenan dari beta sendiri.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan pemerhatian beta dan juga melalui siri perbincangan terperinci bersama Pengarah Sukan, Ahli Lembaga Pengarah dan jawatankuasa yang berkenaan," titahnya.

Tangkap layar muat naik Izhar ketika berkhidmat dengan Selangor FC.

Dalam perkembangan sama, RMS memberi jaminan bahawa baginda dan pihak pengurusan sudah mengenal pasti kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki secara terperinci.

Tambahnya, kelab sudah mula menangani isu terbabit dan memulakan gerak kerja untuk musim hadapan yang akan disusuli dengan beberapa pelantikan teknikal yang baharu termasuk Pengarah Sukan, Pengarah Teknikal, bahagian kejurulatihan, serta langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor.

"Beta mengakui bahawa kita masih belum mencapai kejayaan di atas padang, namun beta tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa kelab ini ke peringkat yang tertinggi.

"Pelbagai pembaharuan dan pencapaian dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan bola sepak, fasiliti dan pengkomersialan sudah beta jayakan.

"Oleh itu, beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecahbelahkan kita," titahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram