Tun M 'puji' kejayaan Najib Razak


  • Politik
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Tun Mahathir menganggap perkara yang betul hanyalah dakwaan Najib manakala bukti dan saksi adalah tidak betul.

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa satu lagi 'kejayaan' Datuk Seri Najib Tun Razak adalah menjadikan perkara yang benar dianggap tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar.

Dr Mahathir menyifatkan Najib yang juga bekas Presiden Umno 'berjaya' menukar budaya dan nilai hidup Melayu dengan menolak bukti jelas serta menerima kenyataan tidak berasas.

"Selama empat tahun Najib dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berasaskan dokumentasi dan cek yang didedah tentang duit anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd.

"Duit itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan dibelanja olehnya namun kononnya (perkara itu) tidak benar. Beliau (mendakwa) tidak tahu akan adanya duit ini. Beliau belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook miliknya pada Selasa.

Dr Mahathir menjelaskan, Najib juga seolah-olah menunjukkan bahawa beliau tidak perlu mengemukakan sebarang bukti apabila menyatakan duit tersebut adalah sumbangan daripada Raja Arab.

"Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya Peguam Negara (AG). Najib tidak salah.

"Yang benar ialah Mahathir memiliki duit berbilion. Duit ini ada di Switzerland dan Taiwan. Apa bukti? Bukti tidak perlu. Najib tahu. Percayalah sahaja.

"Yang benar ialah semua anak Mahathir menjadi bilionair semasa Mahathir jadi Perdana Menteri. Apa bukti. Tidak ada. Tetapi Najib tahu," sindirnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, selama empat tahun dibicarakan, puluhan saksi memberi maklumat mengenai kesalahan Najib serta dokumen dan bukti lain dipamer.

"Hakim menulis 800 muka surat hujah penghakiman tentang perkara yang didedah oleh saksi, bukti dan hasil siasatan. Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim konflik kepentingan. Hakimnya berat sebelah.

"Yang benar ialah penafian oleh Najib, anak dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah," ujar beliau.

Katanya, perkara yang 'betul' adalah dakwaan oleh Najib dan peguam upahannya manakala semua bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu dan semuanya tidak betul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram