AKTIVITI pengemis warga asing yang mengambil kesempatan daripada kebaikan rakyat Malaysia yang suka bersedekah dilihat semakin menular.
Majoriti sebelum ini pernah melaporkan aksi dua orang pengemis yang melakukan kegiatan meminta sedekah dengan modus operandi memakai pendakap leher untuk menagih simpati orang ramai.
Kejadian itu dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Batu Tiga, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim juga telah mengeluarkan satu kenyataan media pihaknya telah menahan lelaki warga emas yang terlibat dalam kegiatan mengemis tersebut.
“Peminta sedekah berusia 72 tahun itu cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Semakan mendapati lelaki itu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terbaharu, melalui satu video tular di TikTok dianahamsani berkongsi kisah yang sama melibatkan pengemis warga asing.
Kegiatan yang dipercayai didalangi sindiket yang sama itu dirakam di di lampu isyarat simpang empat di Cheng,Melaka
"Dekat Melaka, musim orang patah tengkuk. Bukan tak kesian tapi takut nak bagi duit.
"Takut tiba-tiba mengganas," tulis kapsyen dalam video tersebut.
Dalam video tersebut, kelihatan seorang warga asing menggunakan modus operandi yang sama, memakai pendakap leher untuk menagih simpati.
Berdasarkan video berdurasi 28 saat itu, lelaki itu bergerak ke arah setiap kereta yang berhenti sambil membuat isyarat mahu meminta sedekah.
Sedar akan aksinya dirakam, pengemis itu dilihat cuba untuk menutup mukanya dan terus meninggalkan kereta pemandu tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, seorang warganet, jackk sparowww mendakwa peminta sedekah itu adalah orang sama mengemis di kawasan Shah Alam, Selangor.
"Dah sampai Melaka. Dua, tiga hari lepas mengemis di Seksyen 23, Shah Alam," katanya.
Tambah muhdharith, dia pernah terserempak dengan pengemis yang sama di kawasan Bukit Tinggi, Klang.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram