SENARIO bola sepak Malaysia tidak kurang hangatnya, malahan penuh dengan isu-isu sensasi.
Isu perpindahan pemain, 'tangan ghaib' serta tunggakan gaji menjadi topik hangat Liga Malaysia (Liga-M) saban tahun.
Belum lagi menyentuh tentang soal prestasi skuad bola sepak kebangsaan.
Namun bagi seorang pengguna Facebook, Hariz Haikal, keadaan bola sepak Malaysia disifatkan hampir sama dengan situasi politik negara.
"Kebanyakan pemain adalah pemain-pemain yang dah lama. Adalah sedikit pemain baharu.
"Politik pun mcm itu. Muka-muka lama lebih ramai daripada yang baharu.
"Pemain-pemain lama ini berpindah dari satu pasukan ke satu pasukan bergantung kepada pasukan mana yang sanggup ambil mereka.
"Kerap kali mereka akan mewakili pasukan yang pernah mereka bertemu sebelum ini dan kerap kali juga mereka menentang kawan-kawan yang mereka pernah berjuang bersama dulu. Politik pun sama, lompat parti menjadi-jadi.
"Permainan mereka cara lama, sama cara dalam pasukan yang pernah mereka wakili sebelum ini. Orang politik pun sama, berpolitik cara lama sejak sebelum merdeka.
"Penyokong yang pernah memuja mereka dalam satu pasukan akhirnya mengutuk mereka apabila mereka berpindah pasukan. Penyokong parti dan pengundi pun sama," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baddrol Bakhtiar (kiri) membuat kejutan apabila berhijrah dari Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim ini. — Facebook Sabah FC
Tambahnya, ada kala para penyokong bergaduh sehingga tercedera gara-gara bertelingkah tentang corak permainan pasukan kegemaran mereka.
"Penyokong sebenarnya tidak dapat apa-apa selain keseronokan sementara. Penyokong politik pun sama, bergaduh dan berpecah dalam masyarakat.
"Mereka boleh dijual beli. Pasukan mana yang sanggup bayar lebih tinggi, ke situlah mereka akan berpindah.
"Jadi yang untung sebenarnya adalah mereka, bukan penyokong. Orang politik pun sama," ujarnya.
Menurutnya, ada pemain yang pandai berlakon kononnya tercedera apabila dibentes pemain lawan dengan harapan mendapat simpati pengadil.
"Ada kalanya pengadil terpedaya dengan aksi pemain ini. Orang politik pun sama, ada yang masuk hospital setelah kalah pilihan raya.
"Ada yang pergi periksa jantung apabila tertekan dengan isu politik," katanya.
Kekasaran sering berlaku dalam bola sepak. — Bernama
Ujarnya lagi, dalam sejarah bola sepak negara, sudah ada beberapa orang pemain yang dijatuhi hukuman kerana terlibat menjual permainan atau match fixing.
"Orang politik pun ada yang mempunyai beberapa kes di mahkamah.
"Secara keseluruhannya, mutu sukan bola sepak negara kita belum boleh dibanggakan berbanding negara lain termasuk di Asia Tenggara.
"Politik kita pun sama, selagi negara kita kekal sebagai negara membangun. Sepatutnya kita dah jauh lebih maju," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram