Pampasan tinggi punca Trucha masih selamat?


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Rata-rata penyokong Penang FC mahukan Trucha digantikan selepas enam perlawanan tanpa kemenangan setakat ini. — Penang FC

SELEPAS mengharungi enam perlawanan Liga Super, Penang FC berada di tangga tercorot dengan tiga mata selepas mencatatkan tiga kekalahan dan tiga seri.

Situasi itu memberi tekanan kepada kedudukan ketua jurulatih, Tomas Trucha terutamanya dengan desakan penyokong yang mahu beliau digantikan.

Namun, Penang FC dikatakan harus menyediakan jumlah pampasan yang besar jika berhasrat untuk menamatkan kontrak pengendali dari Republik Czech itu.

Kelab penyokong Penang FC di Facebook, Penang Brotherhood mendakwa, Trucha meminta sejumlah RM300,000 sebagai wang pampasan jika kontraknya ditamatkan lebih awal.

Tambahnya lagi, jurulatih berusia 50 tahun itu enggan dipindahkan ke jawatan pengarah teknikal walaupun ditawarkan oleh pengurusan kelab.

"Desas desus sudah bertiup, diberitakan nilai pampasan RM300,000 diminta pemangsa, betullah orang kata pemangsa takkan lupakan mangsanya. Nampak tak? Dia bagi result tahi tapi duit dia mahu.

"Ketika ini Trucha diberitakan ditawar jawatan TD (pengarah teknikal) tetapi beliau berkeras untuk berada di posisi ketua jurulatih. Pelik bukan? Pasti ada sesuatu yang diburu beliau," katanya.

Jelasnya, Penang FC harus melakukan penstukturan semula dalam barisan kejurulatihan dengan menaikkan pangkat pembantu jurulatih, Manzoor Azwira menggantikan tempat Trucha.

Tambahnya, ketua jurulatih II, Chong Yee Fatt pula boleh mengisi jawatan pembantu jurulatih.

"Liga yang bakal berehat selama dua bulan memberikan kita tempoh menguji kombinasi Chong Yee Fatt dan Manzoor Azwira serta Trucha dijadikan ‘GOAT’ selaku jurulatih ketiga. Jika Trucha tak nak, pintu terbuka luas untuk dia pergi.

"Kenapa Yee Fatt? kerana ini sahaja solusi terbaik yang kita ada ketika ini berbanding jurulatih yang sudah tiada hati membawa pasukan. Risiko tetap ada tapi pasti ada jalan keluar dalam tempoh rehat panjang ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram