Penang FC ibarat retak menanti belah


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Endrick diasak oleh pemain Sri Pahang FC ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Sabtu lalu. — Facebook Penang FC

PENANG FC masih mencari-cari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas tewas 1-3 kepada Sri Pahang FC pada Sabtu, ramai peminat kian hilang sabar dengan taktikal diterapkan jurulatih, Tomas Trucha.

Malahan, nama Manzoor Azwira disebut-sebut oleh para peminat untuk menggantikan Trucha.

Kekalahan itu turut menyebabkan Penang FC berada di tangga tercorot liga dengan tiga mata selepas enam perlawanan.

Menjengah ruangan komen di media sosial, seorang peminat Sang Kumbang, Nadarajan Veloo memberikan pandangannya berhubung isu membelenggu Penang FC.

"Sebenarnya pihak pengurusan Penang FC memberikan kuasa mutlak kepada Trucha tahun ini.

"Tahun lepas pengurusan Penang FC masih kawal Trucha dan setiap keputusannya mendapat perhatian dari pihak pengurusan dan juga mengambil kira keputusan penolong jurulatih.

Masa depan Trucha jadi persoalan selepas Penang FC gagal catat sebarang kemenangan. — Facebook Penang FC

"Tetapi tahun ini, setelah kejayaan tahun lepas, pengurusan Penang FC memberikan kuasa sepenuhnya kepada Trucha sehingga beliau menggunakan sepenuhnya dengan memberikan peluang kepada pemain kesayangan dia.

"Diharap pihak pengurusan akan membuat sesuatu. Casagrande dan Rafael Vitor cedera. Vitor cuma boleh balik dalam masa enam minggu lagi.

"Casagrande dalam seminggu dua akan okay. Endrick Dos Santos memang tak ada hati nak main dengan Penang FC.

"Sementara Hilal al-Helwe tidak mendapat sokongan daripada pemain sehingga dia frust (ini pandangan saya dan juga info orang dalam)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram