Kekalahan JDT bersebab, tegas legenda Kedah


  • Podium
  • Isnin, 25 Apr 2022

Nazmi Faiz dari JDT (tengah) berebut bola dengan pemain Kawasaki Frontale Chanathip Songkrasin. — JDT

PEMINAT bola sepak tempatan khususnya Johor Darul Takzim (JDT) mungkin masih diselubungi rasa hairan dengan kejayaan kelab Jepun Kawasaki Frontale, berpesta gol membenam skuad Harimau Selatan 5-0 pada aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL), pada Ahad.

Rasa hairan tersebut sudah tentu disebabkan kejayaan yang dicipta Kawasaki Frontale, hadir hanya tiga hari selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Khamis lepas.

Namun, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kekalahan JDT antaranya sistem penggiliran pemain yang dilakukan Ketua Jurulatihnya Benjamin Mora, yang menyaksikan lima pemain utama termasuk penyerang sensasi Bergson da Silva direhatkan.

Selain Bergson yang meledak empat gol dalam kempen itu, ketiadaan dua pemain tengah Leandro Velazquez dan Ignacio Insa Bohigues serta rombakan di bahagian pertahanan pasukan, turut menambah kesukaran kepada JDT untuk beraksi dengan baik.

"Penggiliran pemain atau ‘squad rotation’ selalunya dibuat kalau seseorang jurulatih itu rasa terdapat tanda-tanda kelesuan pada pemainnya, disebabkan jadual perlawanan yang padat,” kata jurulatih berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah ketika dihubungi pada Isnin.

"Saya pernah bawa pasukan harungi liga domestik dan pada masa sama kena persiapkan untuk kejohanan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), sama macam dilalui Benjamin (Mora). Tujuan (penggiliran) tak lain tak bukan sebab kita mahu pemain berehat, supaya lebih segar untuk aksi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, setiap jurulatih menyedari pendekatan penggiliran pemain mempunyai risiko tersendiri, dan impak negatif daripada percaturan itu dapat dilihat apabila JDT gagal beraksi pada tahap terbaik, tanpa beberapa pemain utamanya sehingga dibolosi lima gol dengan mudah.

Menurut jurulatih yang membimbing Kedah menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia pada musim 2007 dan 2008, sesebuah pasukan memerlukan jumlah pemain setara yang mencukupi, untuk memastikan penggiliran dilakukan tidak 'memakan diri sendiri'.

Dalam konteks JDT, Mohd Azraai berkata, beberapa pemain yang diturunkan Mora pada aksi Ahad tidak dapat menandingi tahap prestasi barisan pemain yang direhatkan.

"Sebab itu aksi pertama JDT ‘very impressive’, di bahagian tengah Kawasaki Frontale tak boleh buat apa kerana ada Leandro dan beberapa pemain utama mampu kawal keadaan, berbanding semalam banyak laan kemasukan dan hantaran mudah dibuat Kawasaki Frontale, itu lah bezanya,” kata Mohd Azraai.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu, Kawasaki Frontale yang juga juara bertahan Liga Jepun mendahului 3-0 pada babak pertama, hasil jaringan pembukaan Yasuto Wakizaka pada minit ke-14 diikuti dua gol Yu Kobayashi masing-masing pada minit ke-31 dan ke-43.

Skuad kendalian Toru Oniki melengkapkan kemenangan mereka menerusi gol pada penghujung perlawanan yang disumbangkan Marcinho pada minit ke-81 dan Chanathip Songkrasin (minit ke-88), sekali gus mengutip tiga mata penuh untuk menerajui saingan kumpulan dengan mengumpul lapan mata.

Meskipun tewas, JDT masih di landasan tepat untuk layak ke pusingan kalah mati apabila berada di kedudukan kedua berkongsi tujuh mata bersama wakil Korea Selatan Ulsan Hyundai FC (ketiga), manakala kelab China Guangzhou FC tercorot tanpa sebarang mata.

Juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu akan menamatkan baki dua perlawanan saingan Kumpulan I menentang Guangzhou Rabu ini, sebelum membuat perhitungan berdepan Ulsan Hyundai pada Sabtu. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim.

"Sudah pasti dia (Mora) akan dapat skuad yang lagi segar untuk habiskan dua perlawanan itu,” kata Mohd Azraai. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram