Pemain Perak FC tak putus simpati penyokong, TMJ pun nak hulur takkan kerajaan Perak senyap je?


  • Podium
  • Selasa, 26 Apr 2022

Penyokong Perak FC tampil menghulurkan sedikit sumbangan selepas aksi berdepan JDT II di Stadium Perak, Ipoh, pada Ahad. — Facebook Perak All Star

UMPAMA cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Begitulah perasaan yang dikongsi oleh penyokong tegar Perak FC apabila pemain pasukan itu masih lagi bergelut dengan isu gaji, meskipun Aidilfitri bakal disambut seminggu sahaja lagi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Wan Nawawi mempersoalkan tanggungjawab kerajaan negeri Perak yang sepatutnya memberi bantuan kepada The Bos Gaurus, namun ia sebaliknya digalas oleh individu yang tiada kaitan dengan pasukan itu.

Perkara itu berlaku apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sebelum ini sanggup memberi sumbangan berjumlah RM400,000 kepada pasukan tersebut.

"Takkan kerajaan negeri Perak tak boleh tolong sumbang sikit. Sekurang-kurangnya untuk raya ni. Kesian player (pemain) dengan staff tu woi," katanya kesal.

template (37)

Luahan salah seorang penyokong Perak FC berhubung isu tunggakan gaji pemain.

Wan Nawawi turut meluahkan simpati apabila melihat wajah kapten pasukan, Firdaus Saiyadi kelihatan sayu ketika menjadi wakil menerima wang sumbangan dari peminat.

"Kita ni laki. Kita faham perasaan kalau boleh memang tak nak ambik duit sumbangan orang sebab kita muda sihat.

"Yang dah ada family (keluarga) tu lagi la. Macam mana 'gagal' nya mereka rasa bila anak bini dorang (mereka) nak raya.

"Nak belikan baju baru pun takde duit tu kalau dah 3 hingga 4 bulan gaji tak bayor (bayar)," katanya.

Berang dengan perkara itu, Wan Nawawi menyifatkan kerajaan negeri sebagai 'sampah' apabila dilihat seolah-olah lepas tangan ke atas pasukan tersebut.

"Yer komer memang sampah. Sebab komer yang set up sistem bola sepak yang merugikan macam ni dah 100 tahun.

"Masa komer pegang seorang pun tak pernah keluarkan idea ke nak jana keuntungan ke?" soalnya.

Penyokong The Bos Gaurus tampil menghulurkan sedikit sumbangan kepada pasukan tu selepas aksi berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Ahad.

Sumbangan itu dipercayai hasil kutipan penyokong Perak yang hadir ke stadium menyaksikan perlawanan itu dan perkara sama sudah dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

Namun, kali ini sumbangan itu dianggap sebagai 'duit raya' kepada pemain yang berdepan cabaran besar kerana selain meneruskan aksi tanpa gaji, skuad itu juga kekurangan pemain apabila hanya mempunyai empat pemain simpanan termasuk dua daripadanya adalah penjaga gol.

Menerusi video yang tular di media sosial, sumbangan yang diisi dalam satu bekas plastik itu diserahkan wakil penyokong kepada Firdaus Saiyadi selepas perlawanan itu.

"Duit raya, duit raya. Selamat hari raya semua," Itu antara perkataan yang diungkapkan penyokong dalam video berkenaan.

Video berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial atau netizen yang kebanyakan memuji usaha dilakukan penyokong dan pada masa sama bersimpati dengan nasib yang menimpa pemain serta barisan jurulatih skuad The Bos Gaurus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram