Nasib malang Perak FC tambah parah, dimalukan JDT II di padang sendiri


  • Podium
  • Ahad, 24 Apr 2022

Aksi skuad JDT II ketika menentang Perak FC pada malam Sabtu. — Facebook EDT

UMPAMA sudah batuk ditimpa tangga, begitulah nasib Perak FC apabila bukan sahaja berhadapan dengan isu tunggakan gaji, malah terpaksa menerima kekalahan 1-3 ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Perak, pada malam Sabtu.

Kekalahan itu sekali gus merupakan yang keempat buat The Bos Gaurus, manakala JDT II merampas kedudukan Liga Perdana.

Dengan kemenangan keenam, JDT II memintas Kelantan FC yang hanya akan turun beraksi menentang PDRM FC pada Ahad.

Namun, skuad kendalian Mariano Raul Erchevrria sepatutnya memenangi perlawanan itu dengan jurang lebih besar jika berjaya menyempurnakan beberapa peluang keemasan.

Seperti dijangka, tuan rumah kalah kepada lawan yang lebih baik daripada mereka.

Perak yang dikendalikan Yusri Che Lah berusaha mengimbangi kekurangan mereka dengan semangat juang kental untuk menyukarkan laluan pelawat.

Bagaimanapun, Perak hanya mampu bertahan selama 24 minit apabila kubunya dirobek oleh Fernando Rodriguez Ortega.

Kapten JDT II itu kemudian melebarkan kedudukan pasukan Harimau Selatan apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-36.

Selang seminit, tuan rumah pula dihadiahkan penalti apabila Muhammad Hakimi Mat Isa dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain itu sendiri mengambil sepakan untuk merapatkan jurang serta menghidupkan api perjuangan rakan sepasukan.

Penguasaan JDT II berterusan pada babak kedua walaupun hanya menambah satu gol melalui Adam Farhan Mohd. Faizal pada minit ke-52.

Ortega dan Moussa Sidibe mensia-siakan dua peluang terbuka untuk melepaskan Perak daripada menerima petaka malam Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram