Tragedi sahur di Seri Iskandar, dua beradik maut rumah kedai terbakar


  • 112
  • Khamis, 21 Apr 2022

Operasi pemadaman dijalankan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di lokasi kejadian. — Sinar Harian

BAYI perempuan berusia tujuh bulan dan kanak-kanak lelaki empat tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Bandar Seri Iskandar, Parit, Perak pada Khamis.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu berlaku ketika dua beradik berkenaan ditinggalkan di tingkat dua bangunan sementara ibu bapanya sedang bersahur di tingkat bawah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa, Muhammad Fahmi Mohd Fazlan Nizam, 4, dan adiknya, Nor Fahmia berusia tujuh bulan terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.

"Dua beradik berkenaan berjaya dikeluarkan anggota bomba dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata pada tubuh badan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika dibawa ke Hospital Changkat Melintang bagi tujuan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati, lokasi kebakaran merupakan bangunan kedai makan tiga tingkat yang mana tingkat bawah merupakan restoran makanan tomyam manakala tingkat dua dijadikan tempat tinggal pekerja.

Katanya, kebakaran dipercayai berlaku dari tingkat dua bangunan itu yang dilengkapi dua bilik.

"Pada masa kejadian hanya tinggal dua kanak-kanak tersebut di tingkat 2, manakala ibu bapa dan pekerja-pekerja lain berada di tingkat bawah sedang bersahur.

"Kedua-dua mangsa adalah anak kepada pemilik restoran tersebut. Bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca kematian mangsa," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada jam 5.07 pagi memaklumkan terdapat dua mangsa terperangkap dalam sebuah rumah kedai yang terbakar.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar yang dikejarkan ke lokasi mendapati, api telah marak mengakibatkan bangunan musnah terbakar hampir 70 peratus.

"Dua mangsa berkenaan berjaya dibawa keluar tanpa sebarang kecederaan. Operasi overhaul kini sedang dijalankan di lokasi kejadian," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram