SELEPAS nama ONEXOX dan TKKR Racing Team disebut-sebut menjadi pemilik baharu Perak FC, rata-rata penyokong skuad The Bos Gaurus teruja dengan berita gembira itu.
Berkongsi status Facebook TKKR Racing Team, laman kelab penyokong Info Bolasepak Perak merasakan keputusan itu akan memberi sinar harapan kepada Perak FC yang sedang bergelut dengan masalah kewangan.
"Mantap beb mantap!!! Kalau yang ini tak payah kalis air bagai...100 peratus kukuh.
"Kita sebagai penyokong Perak yang baru kenal dan dengar, tunjukkan sokongan, tunjukkan yang apabila mereka ambil alih Perak, mereka boleh buat bisnes," tulisnya pada Isnin.
Kelab penyokong Perak FC berkongsi hantaran status TKKR Racing Team pada malam Isnin. — Facebook
Sebelum itu, TKKR Racing Team seolah-olah memberi bayangan bahawa pengambilalihan Perak FC daripada pemilik sedia ada, Impact Media Communication (IMC) Sdn Bhd akan termeterai pada bila-bila masa.
"The Bos Gaurus...Kejo Yeob Kejo," tulis TKKR Racing Team di Facebook.
Kelab Penyokong Perak Power turut berkongsi berita gembira itu dengan status berbunyi: Insya-ALLAH esok (Selasa) akan termeterai perjanjian antara Perak FC dan XOX Berhad.
Difahamkan TKKR Racing Team bernaung di bawah ONEXOX.
Antara komen penyokong terhadap perkhabaran gembira itu.
Seorang peminat, Syahrul Nuzur Sarip berharap pemilik baharu itu akan memberi fokus berkaitan gaji terlebih dahulu berbanding perkara lain.
"Insya-ALLAH kalau gaji clear, maka fans akan support hal-hal lain dengan 100 peratus. Semoga pemilik baharu ini juga lebih rapat dan lebih mesra penyokong...semoga ada sinar di hujung terowong," tulisnya.
KP Bundle Mantop pula berkata, penyokong-penyokong Perak berharap pengambilalihan itu dapat direalisasikan.
"Kami penyokong Perak berharap sangat pengambilalihan ini terjadi. Tak tahan sangat dah dengan sikap IMC yang tak bertanggungjawab," katanya.
"Padu TKKR... kalau motor dia bertaraf dunia, inikan bola sepak... celah gigi je. Terbaik bos," kata Lazarazu Junaidy Loupgarou.
Rekaan jersi Perak FC dengan logo ONEXOX yang dikongsi Afiq Zaini. — Facebook
Sementara itu, Matt Sabri merasakan jika pengambilalihan itu benar-benar berlaku antara IMC dan ONEXOX, penyokong Perak pasti berasa lega kerana skuad kesayangan mereka dapat diselamatkan daripada dihimpit masalah kewangan.
"Kalau jadi ambil alih, penyokong Perak dah tak risau. Trusted owner ni. Semoga ada sinar untuk The Bos Gaurus," katanya.
Afiq Zaini pula melahirkan keterujaan terhadap berita gembira itu dengan berkongsi gambar rekaan jersi Perak FC berwarna kuning dengan logo ONEXOX terpampang di dada.
"Okay dah siap," tulisnya ringkas pada ruangan komen sambil menyertakan gambar jersi berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram