Rakyat Perak bimbang tahanan lolos beri ancaman, tak tenang sambut Aidilfitri


  • Massa
  • Jumaat, 22 Apr 2022

Rakyat Perak risau dengan tahanan warga asing yang melarikan diri dan masih belum ditangkap.

RAKYAT Perak meluahkan kebimbangan mereka susulan tahanan warga asing di Depot Sementara Imigresen Relau, Pulau Pinang yang berjaya meloloskan diri pada Rabu.

Kebimbangan itu disuarakan memandangkan tahanan tersebut boleh memberi ancaman keselamatan kepada penduduk di negeri ini memandangkan terdapat beberapa lagi yang masih bebas.

Bagi seorang penjawat awam, Ramli Ahmad Rozali, 54, berkata, sebagai penduduk di Perak, tahanan tersebut merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

“Tambahan pula hampir raya, jadi sudah tentu kita takut nak tinggalkan rumah kerana bimbang tahanan ini boleh menyelinap masuk untuk bersembunyi,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha spa, Irmalini Amir Hamzah, 37, berkata, keadaan itu menakutkan kerana tahanan yang lolos ini boleh berada pada bila-bila masa sahaja memandangkan mereka boleh melalui jalan-jalan tikus yang ada.

Bagi seorang mahasiswa, A Arvend, 28, orang ramai perlu memainkan peranan untuk memastikan kawasan persekitaran selamat dengan meningkat tahap keselamatan komuniti.

Katanya, Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan-kawasan perumahan boleh diaktifkan dengan membuat rondaan secara kerap bagi mengesan tahanan yang lolos.

Dalam pada itu, penduduk berdekatan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap melahirkan kebimbangan berikutan insiden rusuhan membabitkan etnik Rohingya yang dikatakan mengancam keselamatan penduduk. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram