
PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan salah satu fasa penting dalam perjalanan hidup seorang remaja.
Tamatnya SPM bukan sekadar menandakan berakhirnya alam persekolahan, tetapi juga membuka pintu kepada pelbagai cabang masa depan.
Dalam tempoh peralihan itu, peranan ibu bapa amatlah penting untuk membimbing anak-anak membuat keputusan yang bijak dan sesuai dengan potensi diri mereka.
BACA LAGI: Elak stres, isteri zaman moden lebih utamakan karier berbanding bergelar suri rumah
BACA LAGI: Cantik tak jamin bahagia, lelaki lebih utama rasa hormat, kepimpinan lepas kahwin
Sempena keputusan SPM yang baru diumumkan pada Khamis lalu, berikut merupakan beberapa langkah boleh dilakukan ibu bapa dalam memantau perkembangan pendidikan anak-anak sebelum melangkah ke alam universiti.
1. Kemaskini permohonan UPU
Usai menerima slip keputusan SPM, pelajar digalakkan mengemaskini segera sistem Unit Pusat Universiti (UPU) bagi memudahkan proses tawaran kemasukan ke universiti.
Berdasarkan gred pemarkahan diterima, pelajar boleh memohon kursus pengajian bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka ke arah bidang berpotensi diceburi.
Permohonan itu boleh dilakukan secara atas talian menerusi laman rasmi https://upu.mohe.gov.my/
2. Mohon biasiswa
Antara langkah terawal perlu dilaksanakan ialah memohon biasiswa dan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.
Ramai pelajar terlepas peluang hanya kerana lewat mengambil tindakan atau kurang maklumat tentang tarikh tutup permohonan.
Ibu bapa seharusnya mengingatkan anak-anak untuk segera menyemak senarai biasiswa yang ditawarkan, memahami syarat kelayakan dan menyediakan dokumen yang diperlukan seperti salinan keputusan peperiksaan, sijil kokurikulum, dan surat sokongan.
3. Semakan semula subjek markah rendah
Dalam pada kejayaan diraih pelajar cemerlang, segelintirnya kurang bernasib apabila gagal mencapai gred pemarkahan dimahukan.
Jika ada keputusan yang tidak memuaskan tetapi dirasakan tidak setimpal dengan prestasi sebenar, pelajar boleh membuat rayuan semakan semula keputusan SPM.
Perkara itu diyakini mampu membantu anak-anak merancang langkah seterusnya dengan lebih strategik dan realistik.
4. Kelas kemahiran
Selain melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan untuk menghantar anak-anak ke kelas kemahiran selepas tamat SPM.
Kelas kemahiran seperti kursus teknologi maklumat, kemahiran vokasional, reka bentuk grafik, keusahawanan, kulinari, automotif, dan lain-lain bukan sahaja membuka peluang kerjaya lebih luas, tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran praktikal yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan moden.
5. Kem motivasi
Sebahagian pelajar lepasan SPM kebiasaannya berdepan isu kekeliruan dan kecelaruan fikiran dalam menentukan hala tuju masa depan mereka.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyuntik elemen disiplin dan keyakinan diri anak-anak menerusi program ataupun kem motivasi.
Kem motivasi biasanya menawarkan aktiviti seperti bengkel kepimpinan, pengurusan masa, latihan komunikasi berkesan dan perancangan masa depan yang mampu mengembalikan semula semangat mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram