
KEBELAKANGAN ini tular di laman sosial apabila dua individu pempengaruh didakwa saling bergocoh dan bergaduh ketika menghadiri sebuah majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Shah Alam, Selangor.
Membabitkan seorang usahawan Mira Sazali dan bekas model muslimah, Engku Sulwani Engku Ismail, pergelutan itu walau bagaimanapun terlerai selepas dibantu orang ramai.
Menerusi hantaran di Instagram, Mira mendakwa tindakan Sulwani yang sengaja mengganggu anaknya dan melakukan provokasi merupakan punca utama pergaduhan tersebut berlaku.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan 'cheat code', pakar tepis tanggapan suntikan epidural hanya untuk wanita lemah
Tampil membidas perkara itu, bekas graduan Sarjana Muda Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit yang dianggap fitnah semata-mata.
Katanya, kekecohan itu terjadi selepas dia terlebih dahulu diseret keluar oleh seorang lelaki dan diserang secara fizikal ketika kejadian.
Menafikan tuduhan cuba merampas suami orang, individu terbabit merupakan bekas teman lelakinya yang kini telah pun berkahwin dengan Mira.
"Saya telah melupakan kisah lalu dan individu yang serang saya ialah isteri dia sekarang yang telah mengganggu saya secara terbuka di media sosial selama bertahun-tahun.
"Dia gunakan isu lama sebagai kandungan demi publisiti dan perhatian peribadi.
"Saya memilih untuk berdiam diri dan tenang demi kesihatan mental saya serta mengelakkan penyebaran maklumat palsu," katanya menerusi hantaran di Threads pada Selasa.
Tambahnya, dakwaan melakukan kekasaran terhadap seorang kanak-kanak juga adalah palsu dan dia sama sekali tidak pernah menyentuh mangsa seperti yang diperkatakan.
Laporan polis telah dibuat berhubung hal itu dan pihak hospital juga mengesahan Mira mengalami kecederaan akibat serangan tersebut.
"Laporan polis telah dibuat di bawah Unit siasatan Jenayah dan laporan kedua berkaitan fitnah serta tuduhan palsu di laman sosial.
"Perkara ini kini diserahkan kepada pihak berkuasa dan undang-undang sivil, tindakan sewajarnya sedang diambil bersama pengumpulan buktik untuk siasatan lanjut," jelasnya.
Pun begitu, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden berkenaan setakat ini dan orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu berkaitan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram