Cantik tak jamin bahagia, lelaki lebih utama rasa hormat, kepimpinan lepas kahwin


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Selain kecantikan, lelaki amat menitikberatkan sifat hormat dan penyayang daripada isteri usai berkahwin. — Gambar hiasan/Freepik dijana oleh AI

DALAM alam perkahwinan, kecantikan bukan lagi menjadi ukuran utama kebahagiaan rumah tangga.

Kebanyakan lelaki lebih mengutamakan sifat hormat dan toleransi daripada isteri yang mampu menjadi tulang belakang kepada keharmonian mahligai dibina.

Tidak dinafikan, kecantikan merupakan kunci utama yang menjentik minat dan tarikan terhadap seseorang wanita namun, ketahuilah ia tidak berkekalan lama.

BACA LAGI: Elak stres, isteri zaman moden lebih utamakan karier berbanding bergelar suri rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan saja jelita, guru Pendidikan Seni Visual tunjuk bakat 'conteng' mural dinding kelas, pupuk minat murid melukis di sekolah

Dari mata jatuh ke hati, peribahasa itu sewajarnya disertai dengan sikap menghormati suami berperanan sebagai pelindung dan ketua keluarga.

Kebiasaan suami mahu rasa dihormati bukan hanya dalam isu penting, tetapi perkara kecil seperti cara percakapan, air tangan isteri dan sokongan moral menjadi faktor utama hubungan sesebuah rumah tangga itu mampu berkekalan hingga ke akhir hayat.

Menerusi laporan media antarabangsa, pakar turut menyatakan beberapa elemen perlu disuntik dalam rumah tangga, selain daripada penampilan cantik si isteri.

Meletakkan tarikan personaliti di tangga kedua selepas alam perkahwinan, berikut merupakan empat nilai penting perlu dipraktikkan golongan isteri demi kebahagian rumah tangga.

1. Pasangan saling melengkapi

Lelaki lebih cenderung untuk hidup bersama pasangan yang setia mendengar dan memahami kekurangan mereka.

Toleransi dalam menguruskan hal keluarga, setiap kekurangan individu perlu dibantu dengan dorongan yang mampu membawa jalan penyelesaian.

Sebagai contoh, jika suami kurang dari sudut pengurusan kewangan, isteri seharusnya tampil membantu menyelesaikan bebanan tersebut, sekali gus membentuk persefahaman lebih utuh dalam kehidupan berumah tangga.

2. Komunikasi

Komunikasi menjadi elemen penting dalam hubungan suami isteri terutamanya ketika berlaku pertengkaran.

Setiap masalah ada penyelesaiannya, setiap isu berbangkit nescaya mampu diredakan dengan bantuan komunikasi yang baik serta sopan ketika perbincangan diadakan.

3. Penyayang

Apalah erti cinta tanpa kasih sayang? Setiap pasangan sama ada lelaki mahupun wanita perlu sentiasa mengekalkan elemen ini walau apa jua halangan mendatang.

Hubungan yang sihat bergantung kepada pasangan yang sentiasa sayang-menyayangi satu sama lain terutamanya mereka yang sudah menjangkau usia perkahwinan melebihi 10 tahun.

Rupa paras dan kecantikan itu pasti pudar, namun kasih sayang tidak akan pernah luput jika ia berterusan disemai dalam jiwa masing-masing.

Kesimpulannya, kecantikan mungkin satu bonus dalam hubungan namun sikap dan penghargaan terhadap pasangan ialah kunci sebenar kepada kebahagiaan.

Dalam perkahwinan, hormat dan persefahaman lebih bermakna daripada apa yang dilihat di depan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram