
KATA orang tua, dalam rezeki suami ada rezeki isteri.
Bahkan, kejayaan lelaki bergelar suami juga menjadi nilai ukuran kebahagian seorang wanita yang menjadi tulang belakang di saat jatuh bangun pasangannya itu.
Contoh terdekat yang boleh dijadikan iktibar adalah rezeki melimpah luah dikecapi usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri, 38, yang sentiasa berusaha terbaik demi membahagiakan isterinya.
Mempunyai rangkaian perniagaan meluas di serata negara, Aliff yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' tidak pernah lokek berkongsi rezeki dengan seisi keluarganya walaupun berdepan pelbagai kecaman di platform media sosial.
Terbaharu, bapa kepada enam cahaya mata itu mencuri perhatian ramai apabila menghadiahkan set barangan kemas yang menelan kos lebih RM1.5 juta buat suri hatinya, Datin Seri Nur Shahida, 40.
Rata-rata warga maya memuji tindakan usahawan itu yang disifatkan cukup menghargai isterinya walaupun bergelar usahawan tersohor negara.
Biarpun pernah dilabel riak dan boros dalam berbelanja, perkongsian terbaharu itu membuka mata orang ramai betapa mujarabnya doa dan restu si isteri terhadap kejayaan suami.
"Terbaik Datuk, lebih baik habiskan duit untuk anak bini daripada orang luar, terjamin dan murah rezeki perniagaan," kata cydahasan.
"Alhamdulillah apabila tengok seorang isteri dihargai dan dilindungi, kami para isteri sedunia turut bahagia, tak rugi bahagiakan isteri," ujar aisyaah.
"Seronok ketika sang isteri dihina, si suami tampil membela nasib isterinya, nampak sisi pelindung Datuk, Insya-ALLAH makin maju perniagaan dan murah rezeki suami," tambah Khalieeda.
Dalam pada itu, pendakwah terkemuka, Ustaz Wadi Annuar Ayub sebelum ini pernah mengulas isu pahala sang suami bersedekah kepada isteri.
Katanya, perkara itu langsung tidak mendatangkan kerugian, bahkan ia berada di kedudukan paling tertinggi dalam konteks sedekah.
"Suami jangan pernah rasa rugi, setiap wang ringgit yang kita berikan kepada isteri dan anak-anak kerana itu adalah sedekah paling tinggi daripada kedudukan sedekah-sedekah yang ada," ujarnya.
Aliff dan isteri dikurniakan enam cahaya mata.
Terdahulu, Aliff pernah menghadiahkan sebuah kereta mewah jenama Mercedes-Benz GLC 300 buat isterinya pada tahun lalu.
Pemberian kenderaan yang berharga lebih RM400,000 itu dibuat sebagai penghargaan atas usaha keras Sahahida bersiaran langsung setiap hari di platform TikTok demi mempromosikan produk kosmetik mereka.
Malah, Aliff sebelum ini turut menjadi bualan hangat apabila pernah menghadiahkan isterinya sebuah beg tangan mewah jenama Chanel bernilai RM200,000 pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram