
ISU mengenai lembapan faraj dan keputihan sering menjadi perbincangan hangat dalam kalangan wanita, terutama apabila melibatkan solat dan wuduk.
Pendakwah bebas, Shahrizan Daud At Turabi berkata, ramai wanita tertanya-tanya sama ada penggunaan pantyliner atau kelembapan pada kawasan intim boleh membatalkan wuduk.
Menurutnya, terdapat juga panduan daripada ustazah yang menyarankan untuk membasuh kemaluan atau menukar pantyliner sebelum solat.
BACA LAGI: Berlapar cara ahli sufi dekatkan diri kepada ALLAH SWT
BACA LAGI: Miliki kehormatan tertinggi, ada sebab isteri nabi tidak halal dinikah setelah kewafatan baginda
Ramai wanita tertanya-tanya sama ada kelembapan pada kawasan intim boleh membatalkan wuduk. — Gambar hiasan
Jelas beliau, basahan atau kelembapan faraj yang disebabkan oleh cecair yang keluar dari had zahir faraj wanita dihukumkan suci dan tidak membatalkan wuduk.
"Kelembapan ini, yang boleh berlaku akibat peluh atau cecair semula jadi dari luar faraj (bukan dari dalam), tidak menjejaskan keadaan wuduk seseorang wanita.
"Ini adalah pendapat sahih seperti yang dijelaskan dalam Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib (1/108)," katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.
Shahrizan kemudian memberikan penjelasan yang mudah difahami berkenaan perkara tersebut.
Beliau berkata, lembapan faraj ialah cecair yang keluar dari tempat yang wajib dibasuh ketika istinjak (had zahir faraj), seperti yang jelas kelihatan ketika duduk mencangkung, adalah suci dan tidak membatalkan wuduk.
Shahrizan berkata, Islam itu mudah dan tidak perlu membebankan umatnya dengan perkara tidak perlu.
"Keputihan pula merupakan cecair yang keluar dari dalaman faraj (batin al-faraj), ia adalah najis dan boleh membatalkan wuduk.
"Bagi wanita yang mengalami keputihan berterusan, mereka dihukumkan seperti wanita yang mengalami istihadah (pendarahan luar biasa), yang mana wuduknya tetap sah untuk satu solat fardu," jelasnya.
Oleh itu ujar Shahrizan, wanita tidak perlu rasa terbeban atau risau untuk pergi ke tandas terlebih dahulu bagi memeriksa keadaan faraj atau menukar pantyliner sebelum solat.
"Islam itu mudah dan tidak perlu membebankan umatnya dengan perkara yang tidak perlu.
"Semoga penjelasan ini membantu wanita memahami bahawa isu lembapan faraj tidak perlu menjadi masalah besar dalam menjalankan ibadah solat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram