
SEBAGAI Profesor Matematik dan logik di Universiti Toronto, Kanada, Dr. Gary Miller hanya menerima sesuatu hujah atau pandangan berdasarkan logik akal.
Disebabkan beliau begitu yakin dengan kebijaksanaannya menyelesaikan segala permasalahan ilmu pengiraan, sekitar 1977, beliau berkira-kira pula untuk mencari kemungkinan wujudnya kesalahan dan kesilapan yang terdapat dalam al-Quran.
Miller yang juga seorang mubaligh Kristian yang sangat aktif dan mahir tentang kitab Injil, yakin penemuannya itu akan merubah akidah umat Islam kepada agama yang dianutinya.
BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan
Dr. Gary Miller
Kepada Miller, al-Quran hanyalah sebuah kitab lama yang ditulis lebih 14 abad lalu. Namun, setelah menggali al-Quran sedalam-dalamnya, ternyata al-Quran bukanlah kitab yang biasa-biasa.
Miller mendapati, al-Quran mempunyai sesuatu yang tidak ada pada kitab-kitab lain yang pernah dikajinya.
Kata Miller, beliau langsung tidak menemui cerita tentang detik-detik sukar yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW seperti kematian isteri Baginda, Saidatina Khadijah Khuwailid mahupun tentang anak-anaknya.
Ini adalah kerana ada yang mendakwa al-Quran adalah rekaan dan ditulis sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Bahkan, mereka mengatakan Nabi Muhammad SAW bersekongkol dengan syaitan untuk menghasilkan al-Quran.
Ternyata, surah an- Nahl ayat 98 telah menjawab persoalan yang bermain di fikiran beliau. Surah ini yang bermaksud, “Maka apabila kamu ingin memulakan pembacaan al-Quran maka mohonlah perlindungan ALLAH SWT daripada syaitan yang direjam.”
Ulas beliau, mana mungkin seseorang yang bersekongkol dengan syaitan kemudian menyuruh pembaca memohon perlindungan daripada syaitan sebelum membaca al-Quran.
Kekeliruan beliau semakin memuncak apabila menemui surah yang menceritakan tentang Abu Lahab, ayat al-Quran yang meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan dalam kitab ini selain permusuhan yang tercetus antara orang Islam dan Yahudi.
Katanya, jelas apa yang dirakam lebih 1,400 tahun dahulu berhubung perseteruan anyara umat Islam dan Yahudi berlaku hingga ke hari ini.
Bahkan, beliau menemui terlalu banyak bukti lain tentang keluar biasaan al-Quran.
Manusia merancang, namun ALLAH SWT sebaik-baik perancang. ALLAH SWT mentakdirkan Miller memeluk Islam setahun selepas beliau menamatkan kajiannya iaitu pada 1978.
Kajian beliau yang bertajuk al-Quran al-Muzhil (The Amazing al-Quran)dibukukan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.
Beliau turut menukar namanya menjadi Abdul Ahad Omar dan berkhidmat sebagai pensyarah di University of Petroleum and Minerals, Dhahran, di Arab Saudi.
Abdul Ahad yang telah pun menghembuskan nafas akhirnya pada 2014 kemudiannya aktif sebagai pendakwah antarabangsa dan banyak menulis mengenai Islam.
Daripada kisah benar ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu mukjizat.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Quran adalah sebuah kitab mukjizat yang terpelihara iaitu tiada siapa pun dapat menduplikasinya.
Kitab yang diturunkan ALLAH SWT secara mutawattir kepada Nabi Muhammad SAW merupakan mukjizat, petunjuk dan penawar serta terpelihara daripada sebarang perubahan hingga Hari Kiamat.
Antara mukjizat ini termasuklah al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab boleh dibaca dan dihafal oleh sesiapapun meskipun daripada latar belakang sosio budaya, etnik dan negara yang berbeza.
Proses penurunan al-Quran buat julung kalinya tanpa huruf dan suara ke Luh Mahfuz. Kemudian al-Quran diturunkan ke Baitul Izza (langit dunia). Dari Baitul Izza, Jibril AS membawa al-Quran sebagai wahyu kepada Nabi Muhammad SAW sedikit demi sedikit selama 23 tahun.
Wahyu pertama yang disampaikan Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan ketika beliau sedang bersunyi-sunyian di Gua Hira'. Pada masa itu, Nabi Muhammad SAW berumur 41 tahun.
ALLAH SWT tidak menurunkan al-Quran sekali gus kerana sifat manusia yang tidak boleh menerima sesuatu ilmu yang banyak dalam satu-satu masa.
Penurunan al-Quran
Wahyu pertama yang diturunkan itu ialah ayat 1 hingga ayat 5 surah al-Alaq'.
Wahyu terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah ayat 3 surah al-Maidah. Walau bagaimana pun terdapat pendapat yang mengatakan wahyu terakhir yang diturunkan adalah ayat 281 hingga ayat 283 surah al-Baqarah.
Surah lengkap yang pertama adalah surah al-Muddattsir.
Sembilan hari selepas wahyu terakhir diturunkan, Nabi Muhammad SAW pun wafat.
Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu mukjizat. — Gambar hiasan
Sementara itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan ke-7, Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri mengingatkan umat Islam supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan sebagai bukti manifestasi kita mengagungkan Ramadan sebagai bulan al-Quran.
Perkiraan ini, kata beliau jika sudah masuk 15 Ramadan, adakah kita juga sudah membaca 15 juzuk al-Quran?
“Jika kurang, kita kena buat pasca nilai. Tidak dinafikan kita sibuk pada hari-hari biasa, maka carilah jalan untuk kita menghabiskan bacaan al-Quran pada hujung minggu.
“Kepada yang sudah khatam, kita boleh tambah lagi kerana khatam al-Quran tiada had. Imam Syafie sendiri khatam al-Quran dua kali sehari. Ulama salaf juga ramai yang menunjukkan teladan bagaimana mereka menyantuni al-Quran khususnya sepanjang Ramadan,’’ katanya.
Tegas Zulkifli, jangan biarkan Ramadan berlalu begitu saja tanpa khatam al-Quran atau melazimi al-Quran dengan penuh kesungguhan.
Setiap individu katanya, perlu mencapai lima peringkat ini iaitu pertama, membaca, kedua faham makna, ketiga tahu tafsir al-Quran, keempat taddabbur dengan ambil inti pati al-Quran dan kelima, mengimani, menghayati dan mengamalkannya.
“Andai kita dapat kelima-lima ini, kita sebenarnya berada di kedudukan berbeza dan zon selesa sebagai hamba ALLAH.
“Bacalah sekurang-kurangnya satu ayat al-Quran, sehari kemudian kita tekuni untuk melahirkan keinsafan. Tingkatkan lagi bacaan dari semasa ke semasa. Maka, akhirnya lama-kelamaan al-Quran akan melekat dalam jiwa,” jelas beliau.
Kemuliaan al-Quran
Apa sahaja yang dikaitkan dengan al-Quran akan menjadi mulia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi melalui Jibril AS, maka Jibril AS menjadi penghulu semua malaikat, al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad diangkat menjadi penghulu segala Nabi, al-Quran turun pada bulan Ramadan, maka Ramadan menjadi sayyidul bulan dan al-Quran diturunkan pada lailatulqadar, malam itu menjadi lebih baik daripada 1,000 malam.
Al-Quran diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW,
Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad SAW adakah kita tidak berasa istimewa dan hanya ‘melihat’ saja al-Quran tanpa berbuat apa-apa?
Sedangkan, salah satu anugerah yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah walaupun mereka tidak memahami setiap yang dibaca daripada al-Quran mereka tetap diganjari pahala.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang membaca satu huruf dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. (Riwayat al-Tirmizi)
Pesan ulama, bacalah al-Quran sebanyak-banyaknya sama seperti kita makan. Jika kita sarapan pagi, tengah hari dan malam, maka bacalah al-Quran pada waktu pagi, tengah hari dan malam.
Makanan yang kita makan adalah untuk jasad yang akan hancur, manakala al-Quran yang kita baca adalah untuk menjadikan roh kita terus hidup.
Membaca al-Quran antara ibadah yang digalakkan untuk dilakukan terutama sepanjang Ramadan.— Gambar hiasan
Ulama menyarankan apabila menyebut al-Quran ada tiga perkara yang perlu dilakukan iaitu:
1. Membaca
2. Mentadabbur
3. Beramal
Mengajarkannya semula - Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Tip menjadi sahabat al-Quran
Tanyakan diri adakah kita benar-benar memanfaatkan al-Quran dengan membaca atau sekadar menjadikan perhiasan di rak-rak buku sahaja?
1. Berazam dengan memasang niat bersungguh-sungguh untuk dekat dan bersahabat dengan al-Quran
2. Berusaha memahami makhraj huruf, tajwid dan ilmu asas tentang al-Quran
3. Berdisiplin membaca al-Quran dengan menyusun jadual harian. Mewajibkan membaca al-Quran paling sedikit 1 muka sehari beserta maknanya.
4. Mencipta suasana yang menyeronokkan kita untuk berinteraksi dengan al-Quran. Misalnya, memiliki al-Quran khas, tempat mengaji yang selesa dan alat seperti rehal untuk meletakkan al-Quran ketika membacanya.
5. Berdoa bersungguh-sungguh semoga dipertemukan dengan guru al-Quran yang benar-benar ikhlas mengajar al-Quran untuk mencari reda ALLAH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram