
BEKAS bintang filem dewasa Jepun, Rae Lil Black baru-baru ini mencuri perhatian selepas berkongsi video dirinya berbuka puasa di masjid sekitar Kuala Lumpur, sambil mengenakan pakaian sopan dan berhijab.
Beliau yang menikmati Ramadan pertamanya di Malaysia teruja berkongsi aktiviti solat tarawih dan kunjungan ke beberapa rumah ibadat termasuk Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan dan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.
"Menjalani Ramadan pertama saya, bersyukur atas perjalanan dan keberkatan dikurniakan. Semoga bulan ini membawa keberkatan, keamanan dan petunjuk yang kita perlukan," katanya menerusi ruang kapsyen hantaran di Instagram.
Perkongsian itu menarik pelbagai reaksi termasuk pujian atas penerimaannya terhadap Islam, namun ada juga yang mempertikaikan niat wanita itu memandangkan latar belakang penuh kontroversinya dalam industri filem dewasa.
BACA LAGI: Quran dan sains buka hati Cina Ipoh peluk Islam
Rae Lil Black atau nama sebenarnya, Kae Asakura kemudian membuka mulut mengenai perjalanannya mengenali agama Islam menerusi siaran audio siar (podcast) dikendalikan hos daripada Singapura, Dzar Ismail.
Ujarnya, selepas kunjungan pertama ke Kuala Lumpur pada Oktober tahun lalu, beliau tampil mengenakan hijab dan mencuba pelbagai hidangan popular Malaysia seperti nasi kandar dengan video tersebut turut menjadi tular di media sosial.
Tangkap layar memaparkan Rae berada di Pulau Pinang, ketika ini.
Rae Lil Black atau nama sebenarnya, Kae Asakura, 29, yang kini menetap di Bangkok, Thailand menggambarkan kunjungan itu sebagai titik perubahan dalam hidupnya.
“Di Kuala Lumpur, saya mengenakan hijab sepanjang hari untuk pertama kalinya kerana ingin melawat masjid dan bertemu dengan orang Islam.
“Orang-orang ini sangat baik, mengapa saya tidak cuba untuk memahami budaya mereka?” soalnya yang gemar mempelajari perkara baharu.
Kunjungan Rae ke Malaysia bukan sahaja didorong atas rasa mahu menikmati makanan tempatan, tetapi juga keinginan untuk menenangkan rohani.
Wanita itu sememangnya gemar mempelajari perkara baharu. — Instagram/raelilblack
Tidak hanya bergantung pada bantuan orang lain, Rae turut memanfaatkan video di saluran YouTube sebagai sumber rujukan untuk memahami lebih lanjut tentang Islam.
Sebagai mualaf, beliau mengakui, proses menunaikan solat itu sukar dan penuh dengan kekeliruan pada awalnya.
Namun selepas beberapa percubaan, beliau akhirnya berjaya melaksanakan solat lima waktu setiap hari.
“Saya memutuskan untuk solat kerana mahu mendapatkan bantuan daripada sesuatu yang lebih ‘besar dan kuat.’
"Selepas melakukannya, saya rasa sangat ringan. Seolah-olah kebimbangan saya berkurangan jika terus berdoa," tambahnya.
Untuk rekod, pada Disember 2024, Rae sekali lagi mengejutkan ramai selepas berkongsi gambar dirinya di Lahore, Pakistan, mengenakan hijab hitam sambil menjelajah jalanan kota tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram