Rahsia cergas 24 jam, elak makan berlebihan untuk kekal bertenaga beribadah hingga dinihari


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Terdapat beberapa rahsia untuk umat muslim kekal bertenaga sepanjang berpuasa. — Gambar hiasan

SELAIN sinonim sebagai bulan ibadah, Ramadan turut merakam beberapa peristiwa besar yang begitu signifikan dalam sejarah Islam.

Kemenangan yang diraih dalam Perang Badar pada 17 Ramadan adalah bukti bahawa bulan ini adalah bulan jihad sebenar-benarnya.

Perang yang berlaku pada 17 Ramadan Tahun Kedua Hijrah (H) ini berpihak kepada umat Islam berjumlah 313 orang selepas berjaya menewaskan 1,000 tentera Quraisy dengan pertolongan ALLAH SWT.

BACA LAGI: Berlapar cara ahli sufi dekatkan diri kepada ALLAH SWT

BACA LAGI: Abai bersahur, bermalas-malasan antara ciri puasa tidak menguntungkan

17 Ramadan adalah bukti bahawa bulan ini adalah bulan jihad yang sebenar-benarnya. — Gambar hiasan

Lapan tahun selepas itu, pembukaan kota Makkah pada 10 Ramadan turut berpihak kepada umat Islam apabila 10,000 tentera Islam berjaya masuk dan membebaskan kota tersebut tanpa pertumpahan darah.

Begitu juga dengan sejarah penaklukan Andalusia pada 28 Ramadan Tahun 92H di bawah kepimpinan Thariq bin Ziyad. Tentera Islam berjumlah 12,000 orang berjaya menentang tentera Kristian seramai 100,000 orang.

Kejayaan tentera Mesir menawan Terusan Suez daripada penjajahan Zionis pada tahun 1393H menunjukkan kesungguhan dan jihad umat Islam pada bulan Ramadan.

Ibrah daripada empat peristiwa ini jelas menunjukkan Ramadan bukanlah tempoh untuk kita bermalas-malasan, keletihan berpanjangan, rasa lemah, lesu atau tidur sepanjang hari.

Surah al-Baqarah ayat 183 yang betmaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Surah ini adalah satu panggilan yang jelas daripada ALLAH SWT khusus kepada ‘orang beriman’ berhubung kefarduan ibadat berpuasa.

“Jadi, orang-orang beriman apabila diseru mereka akan cakna atau peka dengan panggilan ini. Salah satu sifat orang beriman mereka akan sentiasa bersemangat dalam apa juga ibadat yang dilakukan,” jelas pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail.

Ustaz Elyas Ismail.

Bulan Ramadan, katanya menawarkan tiga inti pati utama iaitu as-siyam (puasa), al-qiam(ibadah yang dibangunkan pada tengah malam) dan al-Quran (pembacaan al-Quran) untuk umat Islam kekal aktif.

Menurut Elyas, kisah-kisah ulama salaf dan tabi’in yang sering diuar-uarkan seharusnya menjadi teladan dan motivasi kepada umat Islam untuk memenuhi ketiga-tiga inti pati ibadah ini.

Nabi SAW ujar beliau, menunjukkan satu teladan kepada umat Islam dalam merebut ganjaran-ganjaran yang ditawarkan dalam Ramadan. Antaranya, mencapai darjat takwa dan masuk ke pintu syurga ar-Rayyan namun kesemua ini tidak semudah dibicarakan kerana ia menuntut kesungguhan.

Mengulas kaedah untuk kekal cergas dari pagi hingga qiamullail, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meninggalkan qailullah.

“Qailullah dikategorikan sebagai satu ibadah iaitu tidur sebentar pada waktu tengah hari. Kajian mendedahkan, satu minit tidur pada tengah hari bersamaan 20 minit waktu malam yang menjana kecergasan,” ujar beliau dalam satu perkongsian.

Elyas juga mengajak orang ramai supaya tidak makan secara berlebihan seperti saranan Imam Syafie yang mengatakan, perlakuan seumpama ini melemahkan akal dan merangsang syahwat.

“Dua perkara ini perlu dijaga. Qailullah dapat memberi tenaga untuk beribadah menjelang dinihari manakala mengekang diri daripada makan berlebihan menjana kecerdikan,” tegas beliau.

Puasa tidak seharusnya menjadi alasan untuk kita tidur sepanjang hari, lemah atau ponteng puasa. Bahkan, ibadah ini tidak seharusnya menjadikan produktiviti seseorang merudum.

Mungkin pada hari pertama saja tubuh perlu untuk mengadaptasi tetapi selepas itu ia akan stabil. Sebab itulah pentingnya fasa persediaan iaitu bulan Rejab dan Syaaban.

“Bukankah Nabi SAW telah mengajar kita supaya bersahur dan melewatkannya? Tujuannya, selain ada keberkatan tentulah untuk ketahanan fizikal.

“Jika kita dah biasa melakukan puasa sunat sebelum Ramadan, sebenarnya kita okay saja, isunya berapa ramai yang bersungguh-sungguh untuk menjalani latihan ini sebelum Ramadan?,” soal Pengarah Hospital Al-Islam, Dr. Ishak Ma’sud.

Kesan akibat makan berlebihan:

a) Berat bertambah

b) Hati keras

c) Kurang cerdas

d) Banyak tidur

e) Berat untuk beribadah

Selepas seharian berpuasa, tubuh akan berada dalam mod membakar lemak.

Berikut adalah beberapa tip untuk memastikan tubuh kekal cergas dan bertenaga:

1. Tidak balas dendam makan

Ramai yang berbuka puasa seolah-olah tidak makan setahun. Misalnya minum air manis bergelas-gelas, kuih sepinggan dan nasi bertambah. Kesannya, tubuh akan terkejut, insulin meningkat dan makanan yang dimakan akan disimpan sebagai lemak.

Solusi:

Mulakan dengan pengambilan kurma ajwa dan air sebelum menunaikan solat Maghrib. Selepas itu, barulah makan makanan berat dalam kuantiti sederhana.

2. Elak insulin naik mendadak

Jika berbuka dengan tiga biji kuih dan air teh tarik, disambung nasi putih, ia menyebabkan insulin naik mendadak, lalu tubuh akan menyimpannya sebagai lemak.

Solusi:

Utamakan protein dan serat seperti ayam, ikan, ulam, gado-gado atau pecal kerana ia membantu menstabilkan gula dalam darah.

Pengambilan lemak sihat - avokado, santan, minyak zaitun harus dititikberatkan.

Pengambilan karbohidrat dalam kategori slow release (bertahan lama) seperti nasi beras perang, keledek – cegah energy crash iaitu penurunan tenaga secara tiba-tiba selepas makan dengan ciri-ciri rasa mengantuk, letih dan hilang fokus kerana pengambilan makanan tertentu.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil kafein ketika bersahur.  — Gambar hiasan

3. Elak kafein semasa sahur

Mungkin kita pernah merasa cepat haus yang amat sangat selepas sahur. Selepas itu, kita kerap membuang air kecil. Salah satu puncanya kerana minum kopi masa sahur.

Barangkali, ramai terfikir dengan menikmati kopi dapat mengekalkan tenaga, sebaliknya kafein menyebabkan kita kerap buang air kecil. Lalu, ia menjadikan badan cepat dehidrasi.

Menjelang tengah hari, tubuh rasa lesu dan bibir kering. Justeru, adakah kopi sesuai diminum selepas berbuka?

Boleh tetapi elakkan minum menghampiri waktu tidur.

Sifat kafein mengambil masa yang panjang untuk dikumuhkan daripada tubuh selain menyukarkan seseorang melelapkan mata.

Jika kafein diambil selepas tarawih, kita akan terus terjaga hingga waktu sahur.

Solusi:

Air sesuai semasa berbuka adalah teh herba seperti chamomile atau air nabeez (rendaman kurma semalaman) bagus untuk penghidratan tanpa buat kita sering ke tandas.

4. Jangan lepak selepas makan

Selepas solat Maghrib jalan sekejap dalam 5 ke 10 minit. Boleh berjalan di sekutar rumah atau ke masjid untuk solat Isyak dan tarawih.

Jika tidak sempat jalan-jalan, elak terus duduk sebaliknya kemas meja, basuh pinggan atau melakukan apa apa pergerakan walaupun dengan hanya berdiri.

Solat tarawih adalah senaman terbaik. Lebih banyak rukuk dan sujud dilakukan, lagi bagus momentum pada tubuh.

Apa kata, tahun ini kita berazam untuk menunaikan 20 rakaat solat tarawih, supaya kita dapat merasai fasa kecergasan yang sebenar-benarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram