KEISTIMEWAAN para isteri Nabi Muhammad SAW dalam Islam sangatlah luar biasa dan memiliki kedudukan yang amat tinggi.
Mereka tidak hanya dihormati sebagai pasangan hidup Rasulullah tetapi juga diberi penghormatan khusus oleh ALLAH SWT melalui wahyu-Nya.
Keistimewaan itu ada diceritakan dalam berbagai ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan betapa pentingnya peranan mereka dalam sejarah Islam.
Keistimewaan yang dimiliki oleh para isteri nabi yang lain adalah diharamkan bagi menikahi mereka setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW.
Justeru, Majoriti akan menyenaraikan beberapa keutamaan yang dimiliki oleh para isteri nabi yang menunjukkan betapa agungnya posisi mereka dalam agama Islam.
Berdasarkan penulisan buku Meneladani Isteri-Isteri Nabi Muhammad oleh Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi, ia menceritakan para isteri Nabi Muhammad SAW memiliki kedudukan yang sangat tinggi dan keutamaan luar biasa dalam Islam.
Katanya, keutamaan dan keistimewaan yang dimiliki oleh para isteri Nabi Muhammad SAW adalah sebagai ibu bagi orang-orang beriman.
Abu Ubaidah mengulas lanjut, ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran, "Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin daripada diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka." (QS. Al-Ahzab: 6).
Jelas Abu Ubaidah, Imam An-Nawawi menjelaskan bahawa para isteri nabi adalah ibu bagi orang-orang beriman dalam hal haramnya menikahi mereka serta wajibnya untuk menghormati mereka.
Keistimewaan yang dimiliki oleh para isteri nabi yang lain adalah diharamkan bagi menikahi mereka setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW.
Abu Ubaidah menerangkan ALLAH berfirman dalam al-Quran: "Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah baginda wafat.
"Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi ALLAH." (QS. Al-Ahzab: 53).
Kata Abu Ubaidah, perkara itu menunjukkan bahawa setelah wafatnya Nabi, umat Islam tidak diperbolehkan menikahi para isteri Nabi yang menandakan kedudukan mereka yang sangat terhormat.
Selain itu, isteri-isteri nabi termasuk dalam golongan ahli bait menunjukkan keistimewaan yang dimiliki oleh mereka.
Menerusi topik 'Keistimewaan Para Isteri Nabi' menjelaskan ALLAH berfirman, "Sesungguhnya ALLAH hendak menghilangkan dosa daripada kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." (QS. Al-Ahzab: 33).
Abu Ubaidah berkongsi, Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa ayat itu menjelaskan bahawa isteri-isteri Nabi termasuk dalam kategori 'ahlul bait' (keluarga Nabi) kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga yang disucikan oleh ALLAH.
Menurutnya, dalam surah Al-Ahzab (28-29), ALLAH memberikan pilihan kepada isteri-isteri Nabi, apakah mereka ingin kehidupan dunia dan perhiasannya atau keredaan ALLAH dan kehidupan akhirat.
Dijelaskan isteri-isteri nabi seperti Aisyah RA dengan tegas memilih keredaan ALLAH dan kehidupan akhirat yang menunjukkan bahawa mereka yang taat kepada ALLAH akan bersama nabi di syurga.
Abu Ubaidah mengulas lanjut, ALLAH berfirman dalam al-Quran bahawa isteri-isteri nabi yang taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya serta beramal soleh akan menerima pahala dua kali ganda dan rezeki yang mulia (QS. Al-Ahzab: 31).
Katanya, itu menunjukkan kedudukan tinggi mereka di sisi ALLAH dengan pahala yang berlipat ganda bagi mereka yang taat dan berbuat baik.
Selain itu, ALLAH memberi petunjuk tentang adab yang perlu dijaga oleh isteri-isteri nabi seperti tidak merendahkan suara, tidak berhias berlebihan dan menjaga kehormatan dengan tidak meniru perbuatan wanita jahiliah.
Mereka juga diperintahkan untuk mendirikan solat, membayar zakat dan taat kepada ALLAH serta Rasul-Nya yang menunjukkan betapa pentingnya peranan mereka dalam menjaga agama dan kehormatan umat.
Jadi jelaslah, keutamaan dan kedudukan isteri-isteri Nabi Muhammad SAW sangat tinggi dalam Islam.
Mereka dihormati sebagai ibu bagi orang beriman termasuk dalam golongan ahli bait serta dijanjikan pahala yang besar dan tempat mulia di syurga.
Semua itu menunjukkan betapa pentingnya peranan mereka dalam sejarah Islam dan kehidupan umat Muslim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram