Puasa penawar penyakit, elak manisan ketika moreh, kesian badan 'kerja keras'


  • Mukmin
  • Ahad, 23 Mac 2025

Ramadan menjadi platform kepada umat Islam untuk memuhasabah diri dengan apa yang telah dilakukan terhadap kesihatan diri.

STATISTIK mendedahkan tiga dalam 10 rakyat di negara ini menghidap hipertensi, empat dalam 10 orang mempunyai masalah kolesterol, seorang dalam setiap lima pula menghidap diabetes manakala 40 peratus obes. 

Angka ini bukan saja membimbangkan, tetapi persoalannya mengapa ia berlaku? Justeru, Ramadan yang kita jalani seharusnya menjadi salah satu solusi untuk segala permasalahan kesihatan ini.

“Sebagai bulan latihan, Ramadan yang dikurniakan kepada kita adalah untuk mencari reda ALLAH dan mencapai takwa seperti yang termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 183.

BACA LAGI: 20 'checklist' amalan sepanjang Ramadan, jaga lisan, pandangan dan pendengaran

BACA LAGI: Miliki kehormatan tertinggi, ada sebab isteri nabi tidak halal dinikah setelah kewafatan baginda

“Sehubungan itu, kesemua ini memerlukan seseorang mempunyai tubuh badan yang sihat untuk beribadah,” ujar Pengarah Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Ishak Mas’ud.

Ramadan juga katanya menjadi platform kepada umat Islam untuk memuhasabah diri dengan apa yang telah dilakukan terhadap kesihatan diri.

“Misalnya, kita tahu sakit tetapi enggan berjumpa doktor. Tahu-tahu saja keadaan penyakit itu sudah pun teruk, mulalah kita menyalahkan tuhan. Ini adalah sesuatu yang malang,” katanya dalam satu program bual bicara.

Umat Islam kata beliau, seharusnya mempunyai satu pemikiran yang lebih baik setelah bertahun-tahun menjalani ibadah puasa dan tahu untuk mencapai satu-satu matlamat melalui ibadah puasa.

Keindahan Ramadan ujar beliau, mendidik manusia dari segi fizikal, mental, spiritual dan menjadi seorang yang lebih berdisiplin, namun katanya ramai berdisiplin pada waktu berbuka puasa saja.

Pada hal-hal seperti solat pada awal waktu, mengurus masa untuk al-Quran, qiam, bersahur dan lain-lain agak sukar dilakukan.

“Apabila kita berjaya mengurus hal-hal sedemikian maka barulah kita dapat mencapai takwa yang diingini,” jelas beliau.

Sikap gemar moreh bersama kuih-muih seolah-olah memaksa tubuh bekerja lebih keras untuk menghadam makanan.

Pakar gastroenterologi yang berpengalaman hampir empat dekad itu juga menjelaskan, selain pengambilan makanan dan gaya hidup sedentari yang dikaitkan dengan masalah kesihatan terdapat sebab lain yang menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit tertentu.

Misalnya, diabetes jenis 1 adalah sejenis penyakit yang diperoleh sejak seseorang itu dilahirkan ada kaitan dengan masalah genetik.

“Secara dasarnya, saya kurang bersetuju dengan amalan segelintir orang yang bersenam sebelum berbuka untuk menjaga kesihatan, kerana ibadah yang ALLAH preskripsikan sudah lengkap seperti solat-solat sunat termasuk tarawih adalah salah satu bentuk senaman terbaik,” ujarnya.

Justeru katanya, ‘tawaran’ pada Ramadan seperti berusaha melakukan solat-solat sunat rawatib, tarawih, qiamullail seharusnya tidak dilepaskan.

Mengulas tentang pengambilan makanan, Dr. Ishak mengakui ramai yang tewas semasa berbuka, sedangkan mereka boleh dan berjaya mengawal nafsu seharian tanpa makan dan minum. 

Di luar bulan Ramadan, ada yang makan antara tiga enam kali, tetapi pada Ramadan kita mampu menahan diri daripada makan dan minum. Ini bermakna, kita boleh bermujahadah melawan keinginan untuk makan atau minum.

Bagaimanapun, selepas berbuka pola pemakanan sebilangan besar daripada umat Islam berubah secara total dengan pertambahan seperti moreh dan makan lewat malam (supper).

“Sebab itulah kita mesti mempunyai ilmu untuk menghayati sesuatu ibadah, Islam mendidik kita makan secara sederhana, tidak membazir.

“Akhirnya, semua pilihan ini di tangan kita. Bagi mengelakkan kita makan selepas pukul 10 malam, selepas selesai menunaikan solat tarawih terus saja pulang ke rumah tidak perlu moreh,” saran beliau.

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau, Ramadan sebenarnya bulan terbaik untuk penyembuhan pelbagai penyakit kronik. Antaranya termasuklah diabetes, kolesterol dan gastrik. 

Misalnya, pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang menjalani dialisis tidak boleh berpuasa. Bagaimanapun, katanya ada kes pesakit buah pinggang boleh berpuasa dan mencecah tujuh tahun.

"Inilah hikmah dan keistimewaan Ramadan," tegas beliau.

Menurut Dr. Ishak, kajian membuktikan puasa diakui mempunyai banyak kelebihan dari sudut kesihatan, malangnya tidak ramai yang memahaminya.

“Ramadan adalah penawar kepada banyak penyakit kronik. Ada beberapa penyakit yang berkait dengan perut misalnya, pulih dengan mengosongkan perut,” saran beliau mereka yang mendakwa menghidap gastrik seharusnya menjalani pemeriksaan doktor untuk mengenalpasti situasi kesihatan mereka.

Seseorang katanya, tidak boleh melabel semua sakit perut itu adalah gastrik dan tidak boleh berpuasa. “Boleh jadi ia adalah ulser, batu karang, refluks asid dan lain-lain. Ia boleh dibantu dan mudah dikawal,” tegas beliau pesakit gastrik sebenarnya boleh berpuasa.

Sementara itu, jurulatih Kesejahteraan & Penurunan Berat Badan Aafiya Life, Hazlina Mohd. Nor memberitahu, antara rungutan yang lazim menjadi sebutan adalah isu peningkatan berat badan pada Ramadan. 

Permasalahan ini ujarnya, ketara dalam kalangan wanita yang berumur 35 tahun ke atas, sudah melalui fasa perimenopaus. 

“Lazimnya, ketika berbuka kita akan makan nasi bersama lauk-pauk dan kuih-muih. Mengikut jam tubuh, proses mencerna semakin perlahan sekitar pukul 8 malam. Dengan erti kata lain, proses pencernaan sudah selesai syifnya kerana hari sudah malam.

“Malangnya, selepas solat tarawih ada moreh kita makan lagi antaranya kuih-muih, kudapan, bubur dan sebagainya. Segelintir yang lain pula sambung lepak makan di kedai makan,’’ katanya sikap ini memaksa tubuh bekerja lebih keras untuk menghadam makanan.

Menurut beliau, rata-rata dalam kalangan kita tidur dalam keadaan perut ‘sendat’ dengan makanan dan masa tidur semakin lewat iaitu menjelang tengah malam.

Ujar Hazlina, belum pun sempat tubuh berehat, kita bangun semula untuk bersahur. 

“Jadi, sepanjang malam sampai ke pagi proses penyimpanan lemak terus berlaku,’’ katanya dalam satu sesi perkongsian pemakanan.

Tahukah kesannya apabila kita memaksa sistem pencernaan terus bekerja sedangkan ia sudah berada dalam fasa rehat?

“Apabila dari masa berbuka menjelang sahur sudah tidak menentu, tentulah hormon dan jam tubuh kita jadi kelam kabut. Akhirnya, berat badan sukar turun walaupun berpuasa, “ jelas beliau.

Bekas akauntan ini memberitahu, apabila seseorang makan banyak karbohidrat pada waktu malam, gula dalam darah akan meningkat secara mendadak.

Hati yang sepatutnya menyerap lebihan gula menjadi ‘letih’ kerana ia dipaksa bekerja lebih masa. 

Apakah yang berlaku jika tabiat makan selepas pukul 8 malam ini menjadi amalan?

“Gula dalam darah meningkat. Anda berisiko masuk ke zon bahaya iaitu prediabetes  atau dibetes,’’ kata beliau.

Justeru, cara terbaik untuk mencegah semua hal ini berlaku adalah dengan menjaga ‘masa’ makan.  Tambah Hazlina, pastikan selepas berbuka ada tempoh masa yang cukup sebelum tidur supaya tubuh sempat reset untuk menggunakan tenaga dengan betul.

“Elak makan karbohidrat berlebihan semasa berbuka, masa makan yang betul bukan saja dapat membantu menurunkan berat badan bahkan tubuh lebih bertenaga selain mencegah diabetes,” ujarnya.

Berbuka puasa dengan air kosong adalah antara tabiat sihat sepanjang Ramadan.

Enam tabiat sihat sepanjang Ramadan:

  1. Disiplin dan kesungguhan
  2. Sahur yang mengandungi protein dan lemak sihat
  3. Tidak mengambil makanan bergoreng, pemanis mulut dan gula tambahan
  4. Berbuka puasa dengan air kosong dan buah-buahan yang rendah Indeks Glisemik (GI)
  5. Tidak makan selepas menunaikan solat tarawih
  6. Pastikan dapat tidur yang mencukupi kerana ia membantu menurunkan paras insulin    

Antara tip boleh diamalkan sepanjang Ramadan:

  1. Tidak meninggalkan sahur
  2. Makan ikut keperluan tubuh bukan nafsu
  3. Minum air mencukupi

Pengambilan lapan gelas air pada bulan Ramadan boleh diambil seperti berikut:

Sahur

1 gelas - bangun tidur

1 gelas - sebelum makan

1 gelas - selepas makan

Iftar

1 gelas - berbuka/solat

1 gelas - sebelum makan

1 gelas - selepas makan

1 gelas - selepas Isya'

1 gelas - tarawih

4. Istiqamah menunaikan solat sunat rawatib, tarawih & qiamullail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram