Tip mudah khatam, umat Islam disunatkan memperbanyakkan baca al-Quran bulan Ramadan kerana fadilatnya


  • Mukmin
  • Selasa, 18 Mac 2025

Pada bulan Ramadan umat Islam disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana fadilatnya. — Gambar Hiasan

SALAH satu amalan yang masih belum menjadi budaya di Malaysia adalah membaca al-Quran walau di mana saja sepanjang Ramadan.

Lazimnya, budaya membaca al-Quran pada Ramadan seperti bertadarus berlangsung di masjid-masjid, surau-surau atau pusat-pusat tahfiz. Amalan bertadarus ini begitu popular dalam kalangan warga emas atau pelajar-pelajar tahfiz. 

Sebahagian yang lain pula yang terikat dengan kekangan pekerjaan berusaha membaca al-Quran secara berjemaah dengan membahagi-bahagikan beberapa muka surat bersama rakan-rakan dalam kumpulan Whatsapp.

Benar, antara amalan soleh pada bulan Ramadan dilakukan secara bersungguh-sungguh selain memberi makan mereka yang berpuasa adalah membaca al-Quran.

Bahkan, pada siri ceramah Ramadan para asatizah sentiasa menyuntik semangat dan motivasi masyarakat Islam supaya kekal mengagungkan al-Quran.

BACA LAGI : Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama

BACA LAGI : [VIDEO] Solat masih sah jika terlupa baca tahiyat awal, tapi perlu tampung dengan sujud sahwi

Saranan ini bersesuaian dengan firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).”

Dari satu sudut yang lain, timbul persoalan antara tadabbur dan tilawah al-Quran yang mana satukah lebih afdal?

Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan, Pejabat Mufti Wiayah Persekutuan menjelaskan, secara asasnya tadabbur adalah lebih utama dan lebih penting berbanding memperbanyakkan tilawah al-Quran.

Bagaimanapun, pada bulan Ramadan umat Islam disunatkan untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran kerana fadilatnya.

Pembacaan al-Quran ini seharusnya bermula pada bulan Rejab diteruskan pada bulan Sya’ban dan dipertingkatkan pada Ramadan. — Gambar Hiasan

Hal ini dapat dilihat pada amalan golongan salaf yang menumpukan kepada memperbanyakkan khatam al-Quran pada bulan Ramadan berbanding tadabbur.

Meskipun khatam al-Quran bukanlah satu perkara wajib, namun ia bukanlah alasan untuk kita tidak mendekatkan diri dengan al-Quran.  

Sekiranya seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan sedangkan dia mampu, maka tidaklah dia dikira berdosa. Namun, dari satu sudut lain, dia telah terlepas kebaikan dan kelebihan yang banyak. 

Kata bijak pandai, jika tidak boleh melakukan semua, maka janganlah kita tinggalkan semua. Kata pemikir Islam sohor, Ibn Qayyim, barang siapa yang menjadikan al-Quran manhaj kehidupan, maka ALLAH akan kurniakannya dengan ilmu.

Mengulas hal ini, pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar memberitahu, antara  penanda aras jika  seseorang itu dirahmati Allah dalam bulan Ramadan, lihat berapa banyak bacaan al-Qurannya dalam Ramadan. 

"Andai seseorang boleh khatam sekali, ia adalah satu kurniaan. Rejab bulan bercucuk tanam Syaaban bulan kita siram dan Ramadan kita tuai,” ujar beliau yang menyarankan kepada orang ramai supaya tidak bertangguh untuk membaca al-Quran.

Kata beliau, pembacaan al-Quran ini seharusnya bermula pada bulan Rejab diteruskan pada bulan Sya’ban dan dipertingkatkan pada Ramadan.

Bagaimanapun, saran Ustaz Wadi Annuar kepada yang sudah lama meninggalkan al-Quran, supaya memasang niat membaca al-Quran kerana ingin mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

"Tidak mengapa jika tidak dapat habiskan membaca al-Quran, tetapi usahakan baca satu halaman sehari dengan niat untuk dapatkan keberkatan kerana menghidupkan sunah Nabi SAW,” katanya.

Kepada yang sibuk, barangkali boleh menimbangkan tip berikut supaya kita sentiasa bermuamalah dengan al-Quran. Barangkali dengan kaedah ini dapat membantu sekurang-kurangnya sekali khatam al-Quran dalam bulan Ramadan.

Al-Quran mempunyai 600 muka surat. Satu bulan ada 30 hari. Jadi, bahagikan 600 kepada 30 hari. Ini bermakna kita perlu membaca sebanyak 20 halaman sehari.

Bagi memudahkan kiraan ini, 20 halaman itu dibahagikan kepada lima solat fardu. Misalnya:

Solat Subuh  -  empat halaman 

Solat Zuhur  -  empat halaman

Solat Asar    - empat halaman

Solat Maghrib - empat halaman  

Solat Isyak - empat halaman

(Nota: Lazimnya, waktu Mahgrib agak singkat dan agak sukar untuk menghabiskan bacaan Quran sebanyak empat halaman, maka kita perlu kreatif iaitu sama ada dengan menambah dua halaman pada waktu Asar dan dua halaman dibawa ke solat Isyak.) 

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan,  Datuk Seri Zulkifli  Al-Bakri menerusi laman web Maktabah Al-Bakri turut mencadangkan beberapa tip khusus buat mereka yang terikat dengan jadual kerja yang sibuk tetapi masih bercita-cita mahu khatam al-Quran. Antaranya:

  • Peruntukkan masa selepas sahur atau Subuh satu juzuk setiap hari. Ini boleh ditambah pada hari-hari cuti. 
  • Membaca al-Quran secara halaqah 
  • Pergi lebih awal ke masjid pada hari Jumaat dan bacalah al-Quran. Begitu juga, pada waktu solat-solat fardu.  
  • Jika sehari dapat membaca 2 juzuk, maka seseorang dapat khatam al-Quran dalam masa 15 hari.
  • Mengguna bacaan al-Quran daripada YouTube yang kita ikuti untuk mengkhatam al-Quran. 
  • Menyertai halaqah anak-anak yang sedang menghafaz al-Quran untuk mengambil semangat. 
  • Menjemput huffazul Quran membaca al-Quran yang boleh kita ikuti. Misalnya, dua juzuk sehari. Makanya, sebelum tamat Ramadan kita boleh khatam.

Antara tip lain:

Sentiasa membawa  al-Quran kecil 

Simpan senaskhah al-Quran kecil dalam beg. Apabila berkelapangan, buka dan bacalah.

Baca satu muka selepas setiap solat

Kepada yang mengejar masa, jadikan membaca satu muka al-Quran selepas solat wajib sebagai satu amalan.

Baca secara perlahan dan konsisten

Jumlah muka surat yang agak banyak adakalanya membuatkan kita lelah, namun sebaiknya istiqamah membacanya tanpa mengira jumlah halaman yang berbaki.

Elak mengira baki halaman mushaf

Mengira baki halaman yang belum dibaca hanya menambahkan tekanan. Justeru, ‘curilah’ masa tatkala sedang bersantai untuk menambah jumlah muka surat al-Quran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram