
AHLI sufi, Jalal al-Din al Rumi gemar mengulang soalan ini dengan mengatakan, ‘Bolehkah pemain seruling mengeluarkan bunyi yang indah jika perutnya dipenuhi dengan makanan?
Justeru, berpuasa bagi ahli sufi adalah langkah untuk mendapat pencerahan dan ilham rabbani.
Puasa adalah satu bentuk ketaatan yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan ibadah lain. Disebabkan kedudukannya istimewa, puasa menjadi fokus dalam kalangan ahli sufi untuk mendidik diri dan jiwa.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kata pengantar Kitab Asrar al-Sawm (Rahsia-Rahsia Puasa) yang ditulis oleh Imam al-Ghazali mendedahkan, berlapar adalah satu proses mendidik hati dan nafsu paling ampuh.
BACA LAGI: Miliki kehormatan tertinggi, ada sebab isteri nabi tidak halal dinikah setelah kewafatan baginda
Menurut beliau, para salafussoleh dan ahli sufi amat gemar puasa Nabi Daud. Ia adalah satu bentuk amalan yang konsisten dengan berpuasa secara berselang seli.
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Bahkan, Nabi SAW dalam sabdanya bermaksud: 'Tidak ada puasa yang lebih utama daripada puasa Nabi Daud.
Puasa Nabi Daud bermakna seseorang itu berpuasa separuh tahun yakni, sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa.’
"Antara ahli sufi terawal yang membicarakan tentang rahsia lapar ini ialah Shaqiq al-Balkhi. Banyak riwayat yang mengatakan ramai dalam kalangan para sufi memuji fasa lapar ini dengan menyatakan ia adalah satu bentuk khazanah tersimpan bersama Pencipta," tulis beliau.
Bagaimanapun, hanya mereka yang dicintai oleh Sang Pencipta yang boleh mendapatkan kelebihan ini.
Dari sudut perubatan, berpuasa dapat memberi keputusan ujian darah yang lebih tepat untuk seseorang pesakit kerana kadar gula dalam darah dan lipid lebih stabil.
Bahkan, dalam konteks lebih luas, berpuasa adalah satu bentuk proses penyembuhan yang dapat meredakan keradangan, meningkatkan sensitiviti insulin dan membantu mekanisme selular di bawah pemantau pengamal perubatan.
Berpuasa adalah satu bentuk proses penyembuhan. — Gambar hiasan/Agensi
Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali misalnya, merupakan tokoh yang wajar diteladani dalam memahami hakikat berpuasa. Beliau dalam bukunya Rahsia-Rahsia Puasa turut menggariskan bahawa darjat puasa terbahagi kepada tiga iaitu:
- Puasa Umum
- Puasa Khusus
- Puasa Khusus daripada yang Khusus
Puasa umum: Mencegah perut dan kemaluan daripada memenuhi keinginan syahwat. Inilah puasa orang awam.
Puasa khusus: Mencegah pendengaran, penglihatan, lidah, kaki, tangan dan seluruh anggota tubuh lain daripada dosa. Inilah puasa orang-orang soleh.
Puasa khusus daripada yang khusus: Puasa hati daripada segala cita-cita yang hina dan segala fikiran duniawi serta mencegahnya daripada selain Allah secara keseluruhan. Inilah puasa para Nabi, shiddiqin dan muqarrabin.
Imam al-Ghazali menggariskan enam perkara yang perlu diberi perhatian untuk seseorang mencapai Puasa Khusus iaitu dengan memelihara beberapa perkara berikut:
1. Pandangan - Seseorang itu wajar untuk menundukkan pandangan daripada melihat sesuatu yang haram atau makruh kerana ia melalaikan hati daripada ingat kepada Allah.
Bersesuaian dengan hadis daripada Anas yang diriwayatkan oleh al-Hakim yang bermaksud, Melihat yang haram seperti anak panah beracun.
2. Lidah - Perkara ini meliputi tidak bercakap sesuatu yang sia-sia (lagha), tidak berbohong, tidak mengumpat, mengadu domba, riak, mengeluarkan perkataan yang kotor hingga menyebabkan hubungan renggang.
Ulama salaf sangat menitikberatkan penjagaan lidah dengan lebih banyak berdiam kecuali bercakap apabila ada keperluan.
Sebaliknya, setiap muslim digalakkan sentiasa berzikir. Dalam satu hadis Nabi SAW diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, Puasa benteng (daripada nafsu jahat dan syaitan). Justeru, semasa berpuasa, elakkan berkata yang haram dan jahil.
3. Pendengaran - Sesuatu yang haram diucapkan juga haram mendengarnya. Surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud, "Dosa orang yang mendengar (yang haram) sama dengan memakan sesuatu haram."
4. Memelihara anggota tubuh daripada dosa - Mengelakkan tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang makruh, sementara perut pula tidak diisi dengan makanan yang syubhah iaitu yang tidak jelas halal dan haramnya.
- Tidak banyak makan ketika berbuka - Meskipun makanan tersebut halal, makan sedikit adalah kaedah terbaik untuk mencegah belenggu syaitan dan hawa nafsu. Dengan berlapar, ia dapat mengukuhkan jiwa untuk mencapai darjat takwa. Seseorang yang ingin mencapai puasa khusus disaran supaya tidak makan pelbagai hidangan semasa Ramadan yang lazimnya tidak dimakan pada bulan-bulan lain. Banyak makan menyebabkan hati terhijab (halangan) daripada Allah. Sebab itulah, ulama salaf begitu berhati-hati dengan hal-hal yang membabitkan makanan. Sebaliknya dengan makan sedikit, ia dapat menjernihkan hati, sekali gus meringankan fizikal untuk melakukan amalan lain seperti solat tahajud, berwirid dan sebagainya.
6. Hati - Sentiasa dalam keadaan takut (khauf) dan harap (raja’) kepada ALLAH. Perumpamaan ini adalah seperti adakah puasa kita diterima atau tidak? Dalam melakukan apa juga amalan atau ibadah seseorang perlu mempunyai dua sifat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram