Boleh jatuh nusyuz, Ustazah Asma' pesan isteri tak boleh sentiasa taat permintaan suami bertentangan syarak


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Permintaan suami yang berlebihan seperti menindik lidah perlu ditolak bagi menjaga kehormatan diri. — Gambar hiasan

PERKAHWINAN bukan sekadar mengikat hubungan antara dua individu, tetapi satu bentuk ibadah, tanggungjawab dan hak yang perlu dipenuhi oleh pasangan, baik suami mahupun isteri. 

Selaras dengan tuntutan Islam, para isteri juga diwajibkan untuk sentiasa taat kepada suami.

Taat kepada suami bermakna isteri perlulah menghormati, mengikut arahan serta menjaga hak-hak suami selagi mana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.

BACA LAGI: Buat ‘eyelash lifting’ harus cuma jangan sampai tabaruj! Guna inai pun dianggap berlebih-lebihan

BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan

6176961501013860873

Suami isteri perlu memahami prinsip Islam dengan betul demi keharomian rumah tangga. — Gambar hiasan

Isteri juga disarankan untuk mengutamakan kehendak dan kebajikan suami dalam urusan rumah tangga termasuk memberi sokongan moral dan emosi.

Namun, taat bukan bermakna tunduk tanpa pertimbangan, tetapi lebih kepada satu bentuk kerjasama dan penghormatan dalam membina keluarga yang sejahtera.

Ia juga bukanlah satu bentuk ketaatan tanpa batas yang membolehkan suami atau mana-mana pihak untuk meminta sesuatu perkara bertentangan dengan hukum ALLAH.

Tindakan seperti menindik lidah atas alasan mahu memenuhi kehendak suami atau mengikut trend merupakan contoh jelas ia melanggar syariat Islam.

Seperti yang pernah dijelaskan oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun berhubung isu tersebut, hukum asal berhias adalah harus selagi ia tidak berlebihan dan tidak menampakkan perhiasannya kepada bukan mahram.

Namun, beliau menjelaskan bahawa menindik lidah pula adalah haram walaupun ia satu permintaan oleh suami.

Beliau berkata, menindik lidah tidak dibenarkan kerana ia menyerupai golongan kafir dan fasiq.

Ia juga bukanlah adat di Malaysia malah perbuatan tersebut merupakan budaya orang kafir.

Nabi SAW larang umatnya untuk menyerupai golongan kafir seperti Hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

من تشبه بِقومٍ فهُو مِنهُم

Maksudnya: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka."

(HR Abu Daud)

6176961501013860872

Ustazah Asma' (gambar kecil) mengulas tentang isu berhias berlebih-lebihan atas alasan permintaan suami.

Perbuatan menindik lidah juga adalah perbuatan berhias secara berlebihan. Firman Allah SWT:

ولا تبرجن تبرُج الجاهِلِيةِ الأُولى

Maksudnya: "Dan janganlah kamu mendedahkan diri (berhias berlebihan) seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Mengulas lanjut, Ustazah Asma' menekankan terdapat prinsip asas yang perlu difahami dala konteks ketaatan kepada suami.

"Isteri perlu faham bahawa tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang bertentangan dengan syariat ALLAH.

"Oleh itu, sekiranya suami mengarahkan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam, isteri tidak wajib menurutinya, malah menolaknya juga tidak dianggap sebagai satu dosa," katanya kepada Majoriti.

Beliau menjelaskan, Islam menggariskan bahawa ketaatan kepada suami adalah satu kewajipan selagi ia tidak melibatkan maksiat.

Lanjutnya, Hadis Nabi Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tidak boleh taat kepada makhluk dalam perkara yang melanggar perintah ALLAH.

"Sekali lagi, jika suami meminta sesuatu yang bertentangan dengan syariat, isteri berhak menolaknya tanpa dikira derhaka atau nusyuz.

"Hal ini kerana, istilah nusyuz bukan hanya terpakai kepada isteri, tetapi juga boleh berlaku kepada suami yang mengabaikan tanggungjawabnya atau melakukan kezaliman terhadap isteri.

"Ia berbeza dengan istilah dayus yang hanya terpakai kepada suami dalam konteks lain," tambahnya.

relic-moon-nose-piercing-2

Hukum menindik hidung bagaimanapun berbeza bergantung kepada keperluan sesuatu adat atau kaum. — Gambar hiasan

Ustazah Asma' bagaimanapun berkata, hukumnya berbeza bergantung kepada adat dan kebiasaan sesuatu masyarakat.

Sebagai contoh, tindik hidung bagi wanita India yang sudah memeluk Islam masih dibolehkan kerana ia adalah sebahagian daripada budaya mereka.

Namun, bagi masyarakat Melayu, ia boleh dianggap sebagai perhiasan menarik perhatian secara berlebihan (tabaruj) yang boleh menimbulkan fitnah.

Disebabkan itu, menindik hidung dalam kalangan masyarakat Melayu boleh jatuh kepada hukum yang tidak dibenarkan.

Beliau pada masa sama memberi beberapa saranan kepada para isteri untuk menolak permintaan suami yang bertentangan dengan syarak.

"Dalam hal ini, isteri harus menolaknya dengan bijaksana. Beberapa pendekatan boleh digunakan.

"Pertama, cuba untuk menolak dengan baik iaitu Isteri harus menolak dengan cara yang sopan dan penuh hormat bagi menjaga keharmonian rumah tangga.

"Seterusnya, gunakan bahan rujukan seperti artikel atau fatwa daripada sumber yang dipercayai untuk memberi pemahaman kepada suami.

"Selain itu, minta bantuan pihak ketiga jika suami masih tidak memahami. Isteri boleh dapatkan nasihat daripada individu yang dihormati suami seperti saudara-mara atau guru agama," katanya.

Namun, sekiranya cara sedemikian masih tidak berjaya, mereka boleh menggunakan bantuan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam untuk panduan lebih jelas.

Katanya, suami dan isteri perlu memahami prinsip tersebut agar hubungan rumah tangga kekal harmoni dan diredhai ALLAH.

Kelembutan dan doa juga merupakan senjata utama seorang isteri dalam menegur dan membimbing suami ke arah kebaikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram