SEORANG remaja maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Kilometer 2.8 Jalan Kluang – Nyior, Johor pada Ahad.
Difahamkan insiden berkenaan berlaku berdekatan Taman Murni Kluang pada pukul 7.20 malam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, identiti remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan itu dikenali sebagai Yap Yu Hern.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau
Menurutnya dalam satu kenyataan, mangsa berumur 18 tahun yang juga mekanik di bengkel bapanya di Kluang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Nyior menuju ke bandar Kluang dengan menunggang motosikal berseorangan.
Difahamkan sebaik sahaja pihaknya sampai di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tiang lampu jalan.
"Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta kepala dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Tambahnya, pihak hospital bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 9 malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis terdekat atau terus ke Bahagian Trafik IPD Kluang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram