
PADA hari kiamat, manusia adalah seperti anai-anai yang bertebaran dan gunung-gunung adalah seperti bulu yang dihambur-hamburkan memetik al-Quran surah al-Qari'ah: ayat 4 hingga 5.
Ayat tersebut menggambarkan betapa dahsyatnya hari kiamat ketika langit dan bumi mengalami perubahan yang luar biasa.
Umum mengetahui, manusia akan bangkit dari kubur dengan tergesa-gesa dan keadaan dunia akan berubah keseluruhannya dan itu adalah perhitungan amal dan pembalasan di hadapan ALLAH SWT.
Terdapat hadis menyatakan manusia berkumpul di Padang Mahsyar dalam keadaan tidak berpakaian. — Bincang syariah
Di sebalik kedahsyatan hari tersebut, apa yang kita ketahui adalah manusia akan dibangkitkan dengan tanpa pakaian namun terdapat manusia pertama yang diberikan pakaian pada hari kiamat.
Berdasarkan perkongsian oleh pengkaji kitab, Hafiz Firdaus Abdullah menerusi topiknya 'Pakaian Di Padang Mahsyar'' ada menyatakan Nabi Ibrahim orang pertama yang diberikan pakaian pada hari kiamat menurut hadis Shahih al-Bukhari, (no: 4371/4740).
"Rasulullah pernah berkhutbah: Sesungguhnya kalian akan dikumpul (di Padang Mahsyar) menuju ALLAH dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian dan tidak berkhitan.
"Kemudian baginda melanjutkan: Sesungguhnya orang pertama diberi pakaian pada hari kiamat ialah Nabi Ibrahim," memetik sumber.
Menurut pengkaji kitab itu berkata, berdasarkan hadis sahih di atas menunjukkan semua manusia dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian termasuklah para Nabi.
"Hanya kemudian, para Nabi diberikan pakaian bermula dengan Nabi Ibrahim AS.
"Ini dapat difahami dari sabda baginda: Sesungguhnya orang pertama diberi pakaian pada hari kiamat ialah Nabi Ibrahim," katanya.
Nabi Ibrahim diberi pakaian sebagai penghormatan kerana pernah ditelanjangi sebelum dilemparkan ke dalam api sebagai ujian besar mempertahankan keimanan kepada ALLAH SWT.
Perkara itu turut diperjelas dalam penulisan dari Detik Hikmah, terdapat riwayat yang menyebutkan orang pertama yang diberikan pakaian ketika manusia dibangkitkan adalah Nabi Ibrahim AS.
Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Shahih Muslim:
"Makhluk pertama yang diberi pakaian pada hari kiamat adalah Nabi Ibrahim AS." (Shahih Muslim, no. 2860; Shahih Bukhari, no. 3447).
"Pakaian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim AS berasal dari syurga dan baginda ditempatkan di samping kanan arasy (di sisi ALLAH) diikuti oleh Rasulullah SAW yang juga diberikan pakaian yang tiada bandingannya," memetik Detik Hikmah.
Penulisan oleh Kristina itu turut diperkuatkan lagi oleh penyataan Imam Syamsuddin Al-Qurthubi dalam At-Tadzkirah, Nabi Ibrahim AS adalah orang pertama yang diberi pakaian kerana ketaqwaannya yang sangat mendalam kepada ALLAH SWT.
Menurut Detik Hikmah, pakaian tersebut diberikan untuk menenangkan hati baginda yang merupakan bentuk balasan atas ketulusan iman dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam membela agama ALLAH.
"Ada juga yang berpendapat bahwa pemberian pakaian ini berkaitan dengan kisah Nabi Ibrahim yang ditelanjangi sebelum dilemparkan ke dalam api sebagai ujian besar dalam mempertahankan keimanan kepada ALLAH SWT.
"Dengan demikian, meskipun banyak pendapat yang berbeza, majoriti ulama bersepakat bahawa Nabi Ibrahim AS adalah orang pertama yang diberikan pakaian pada hari kiamat sebagai penghormatan dan balasan atas keteguhannya dalam beriman kepada ALLAH SWT," memetik sumber. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram