SEBUT sahaja nama Shaukat, pasti pentas gusti tempatan mengenalinya sebagai ahli gusti profesional.
Shaukat, 37, atau nama sebenarnya Ayez Shaukat-Fonseka Farid kini mengumumkan bahawa dia bakal melebarkan sayap seninya ke Indonesia dengan harapan dapat meneroka lebih banyak peluang dan kolaborasi dalam industri filem serantau.
Berkongsi berita menarik itu, Shaukat memaklumkan kesediaannya untuk terlibat dalam projek-projek baharu selepas mendapat kelapangan yang tidak disangka pada awal tahun ini.
Walaupun beberapa tarikh disahkan untuk projek lakonan dan trip ke Amerika Syarikat bagi penggambaran filem, dia menegaskan bahawa masih ada ruang untuk mencipta sesuatu yang luar biasa dalam tempoh tersebut.
"Kepada semua rakan-rakan, pengarah, dan penerbit industri filem Malaysia dan Indonesia, saya nak reach out dengan penuh semangat dan harapan untuk terus maju dalam kerjaya saya.
"Saya terbuka untuk menerima sebarang tawaran sebagai pengarah, pengarah aksi mahupun pelakon.
"Untuk bidang lakonan, saya kini berada dalam keadaan fizikal yang paling lean (tubuh sihat dan fit) dan versatile yang bersedia untuk memerankan pelbagai jenis watak.
"Antara projek terbaru yang saya terlibat adalah Takluk: Lahad Datu, yang kini sedang ditayangkan di Netflix," katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook.
Selain itu, dia turut mengumumkan bahawa dua filem arahannya, Jangan Pandang Belakang 2 dan Projek Kahar Kapla High Council akan bakal ditayangkan penonton pada November ini.
"Sebagai pengarah aksi, saya teruja untuk melihat bagaimana kedua-dua projek ini diterima oleh peminat," jelasnya lagi.
Dengan semangat untuk terus maju dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam industri, dia menegaskan bahawa sokongan dari komuniti filem adalah sangat berharga baginya.
"Jika ada penerbit atau pengarah yang percaya pada kemampuan menghasilkan karya hebat, saya sangat berbesar hati untuk berkolaborasi.
"Mari kita cipta sesuatu yang epik bersama-sama," ujarnya dengan penuh keyakinan.
Baginya perkara itu merupakan peluang keemasan untuk bekerjasama dengan para penggiat seni dan profesional dalam dunia perfileman Malaysia yang sentiasa bersemangat membawa sesuatu yang baru dan inovatif ke layar perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram