DALAM masyarakat kini, ketidakadilan dalam perhatian dan kasih sayang antara anak-anak sering mencetuskan konflik sesebuah keluarga.
Masalah tersebut boleh memburukkan hubungan antara saudara kandung seperti yang digambarkan dalam kisah Nabi Yusuf apabila perasaan cemburu dan ketidakadilan daripada kasih sayang ayah mereka menyebabkan saudara-saudara Yusuf bertindak agresif.
Berdasarkan penulisan Dr Adil Asy-Syiddiy menerusi buku Tonggak Pendidikan Anak, beliau menyatakan anak-anak sangat peka terhadap layanan yang berbeza daripada ibu bapa mereka.
Ibu bapa perlu memastikan anak-anak yang lain turut dibelikan hadiah atau mainan sekiranya memberi kepada anak sulung misalnya.
Dalam topik 'Berlaku adil pada anak', Dr Adil menyatakan bahawa banyak konflik dan perselisihan antara saudara kandung berlaku kerana ketidakadilan yang dirasakan oleh mereka.
Penulisan beliau di muka surat 34 itu menjelaskan rasa takut kehilangan kasih sayang ibu bapa terutamanya sosok ayah boleh membuatkan anak bertindak agresif terhadap saudara kandung mereka.
Dr Adil berkata, situasi itu terjadi seperti yang dialami oleh saudara-saudara kandung Nabi Yusuf yang berasakan ayah mereka (Nabi Ya'qub) lebih menyayangi Nabi Yusuf dan memberi perhatian lebih kepadanya.
Kisah itu turut dinyatakan dalam al-Quran seperti firman ALLAH dalam Surah Yusuf ayat 8:
"إِذ قالُوا۟ ليُحشرن يُؤسُفُ وأخُوهُ إِلىٰٓ أبِيهِما وإِنا لفِىٰٓ ضلٰلٍۢ مُبِينٍۢ"
"Dan ingatlah ketika saudara-saudara Yusuf berkata, 'Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita, padahal kita adalah golongan yang kuat. Sesungguhnya ayah kita dalam kesalahan yang nyata."
Mengupas tentang firman tersebut, Dr Adil berkata, perasaan cemburu itu menyebabkan anak-anak Nabi Ya'qub mahu 'menghilangkan' Nabi Yusuf supaya mereka mendapat perhatian ayah mereka.
Situasi itu digambarkan menerusi firman ALLAH dalam Surah Yusuf ayat 9 yang berbunyi:
"ٱقتُلُوا۟ يُؤسُف أو ٱلقُوهُ فِىٰٓ بطنِ ٱلجُبِ يخلُ لكُم وجهُ أبِيكُم وتكُونُوا۟ مِنۢ بعدِهِۦ قومۭا صٰلِحِين"
"Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, agar perhatian ayahmu tertumpah kepada kamu semua, kemudian bertaubatlah menjadi orang yang baik."
Dr Adil menghuraikan ayat tersebut yang menunjukkan bahawa sikap ibu bapa yang tidak berlaku adil boleh mendorong anak mereka bertindak luar kawalan demi mendapatkan kasih sayang seperti kisah Yusuf.
Dalam pada itu, Dr Adil turut memetik satu kisah Nu'man Bin Basir pada zaman Nabi Muhammad mengenai ibu bapa perlu bersikap adil dalam memberikan hadiah kepada anak-anak.
Kisah itu adalah berdasarkan hadis sahih al-Bukhari yang menceritakan lelaki itu meminta Nabi Muhammad SAW bagi menjadi saksi pemberian hadiah kepada anaknya.
Lalu Nabi Muhammad SAW bertanya sama ada dia memberikan atau tidak kepada anak-anaknya yang lain dan lelaki itu menyatakan tidak.
Nabi Muhammad bersabda "Bertakwalah kepada ALLAH dan berlaku adillah kepada anak-anakmu".
Dr Adil Asy-Syiddiy memberi pandangan walaupun perasaan cinta ibu bapa terhadap anak mungkin berbeza-beza, namun adalah penting untuk menunjukkan keadilan dalam setiap tindakan.
Katanya, jika anak pertama diberi mainan, pastikan adik-adiknya juga mendapat mainan sesuai dengan usia mereka.
Tambahnya, perkara itu adalah sama juga jika anak bongsu sering dicium harus pastikan kakak-kakaknya juga merasa dihargai dengan perlakuan yang sama.
Dr Adil Asy-Syiddiy menekankan ketidakadilan boleh menyebabkan masalah besar antara saudara kandung apabila mereka dewasa kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram