QADA solat merujuk kepada solat yang dilaksanakan untuk menggantikan solat fardu yang tertinggal atau terlewat.
Dalam situasi semasa, banyak individu yang terlepas solat kerana terlupa akibat kesibukan harian atau faktor kesihatan.
Jadi adalah penting untuk memahami cara yang betul dalam melaksanakan solat qada bagi memastikan kita tetap dapat menunaikan kewajipan ibadah tersebut walaupun selepas waktunya berlalu.
Menerusi perkongsian baru-baru ini dari pihak Masjid Kg Nakhoda di Batu Caves menjelaskan tentang cara melaksanakan solat qada bagi menggantikan solat fardu yang tertinggal.
Menurut pihak masjid, solat qada adalah mudah dilakukan misalnya jika terlepas solat Zuhur hendaklah niat "Sahaja aku solat fardu Zuhur qada kerana ALLAH Ta'ala" dan solat 4 rakaat seperti biasa.
Katanya, waktu pelaksanaan solat qada tidak terikat pada waktu solat yang tertinggal dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Contohnya qada solat Zuhur boleh dilakukan pada waktu Asar dan Subuh boleh dilakukan waktu solat Isyak.
Dengan penjelasan sebegitu, diharapkan umat Islam dapat lebih memahami cara melaksanakan solat qada dengan mudah dan sah serta tidak lagi khuatir tentang solat yang tertinggal.
Dalam pada itu, berdasarkan laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bagi mereka yang terlepas beberapa solat adalah disunatkan untuk menggantikan solat-solat tersebut mengikut susunan waktu solat yang asal.
Proses tersebut bermula dengan solat Subuh diikuti Zuhur, Asar, Maghrib dan akhirnya Isyak.
Merujuk kepada riwayat al-Nasaie (662) berdasarkan hadis Rasulullah SAW menyatakan:
إِنَّ الْمُشْرِكِينَ شَغَلُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَرْبَعِ صَلَوَاتٍ يَوْمَ الْخَنْدَقِ، فَأَمَرَ بِلَالًا فَأَذَّنَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الظُّهْرَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْعَصْرَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ، ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْعِشَاء
Maksud: Sesungguhnya orang musyrikin mengganggu (berperang) Nabi SAW (sehingga tertinggal) empat waktu solat ketika peperangan al-Khandak. Maka Nabi SAW memerintahkan Bilal (untuk azan) lalu beliau azan. Kemudian beliau bangun (iqamah) dan solat (ganti) Zuhur, kemudian bangun untuk solat Asar, kemudian bangun untuk solat Maghrib, kemudian bangun untuk solat Isyak.
Dapat diperjelas hadis tersebut menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW menggantikan solat-solat yang tertinggal akibat gangguan peperangan mengikut urutan waktu solat yang biasa.
Berdasarkan penulisan Khairul Anuar Abdul Khalid itu menyatakan Imam al-Umrani menegaskan jika seseorang terlepas beberapa solat adalah sunat bagi mereka untuk menggantikannya mengikut urutan waktu solat.
Katanya perkara tersebut adalah kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah meninggalkan solat-solat pada perang Khandak sehingga terlepas waktunya dan baginda menggantikannya mengikut turutan waktu solat yang asal.
Dengan ini, umat Islam dianjurkan untuk menggantikan solat yang tertinggal mengikut susunan yang ditetapkan, sesuai dengan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram