SATU insiden tragis melibatkan jentera berat yang mengakibatkan kematian dua remaja berumur 16 dan 17 tahun dipercayai berlaku di tapak pembinaan di Elazığ, Turkiye pada Rabu.
Dalam kejadian yang dirakam menerusi kamera keselamatan tapak pembinaan itu kelihatan seorang daripada remaja terbabit sedang memandu jentera berat manakala seorang lagi sedang berpaut pada pintu kenderaan berkenaan.
Difahamkan jentera berat itu secara tiba-tiba mengundur lalu kemudiannya terbalik sebelum mereka berdua dilihat cuba keluar, namun gagal dan tersepit di bawahnya.
Insiden itu dipercayai berlaku ketika kerja-kerja pembinaan masih diteruskan di tapak pembinaan di kampung Sarı Çubuk.
Menurut maklumat yang diperoleh, mangsa dikenali Murat Ateş, 17 dan Yusuf Gözel, 16 cedera parah akibat jentera yang digunakan di tapak pembinaan itu tiba-tiba terbalik.
Bagaimanapun, setelah dimaklumkan kejadian itu, pasukan perubatan kecemasan dan polis dihantar ke lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital selepas mendapat pertolongan cemas di tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa yang cedera parah dilaporkan tidak dapat diselamatkan walaupun usaha menyelamatkan dibuat oleh pelbagai pihak.
Difahamkan, pengendali jentera pada ketika itu pergi ke tandas dan dua orang remaja terbabit menaiki kenderaan berkenaan secara curi-curi sebelum terbalik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram