PENGGUNAAN wafaq dalam perniagaan sebagai pelaris merujuk kepada amalan menulis atau membaca susunan huruf atau angka tertentu daripada ayat-ayat al-Quran atau doa dengan tujuan menarik keberkatan dan mempercepatkan kejayaan.
Difahamkan, ramai masyarakat Islam dilihat sering kali menggunakan kaedah itu yang dipercayai kononnya dapat meningkatkan jualan, menarik pelanggan dan menghindari masalah dalam perniagaan.
Namun di sebalik itu, ada juga yang tidak sedar akan hukum sebenar penggunaan wafaq itu terutamanya dalam kalangan umat Islam.
Wafaq seperti ini selalunya diletakkan dalam botol atau disalut dengan kain dan digunakan sebagai tangkal. — Ruqyah Rawatan Islam Alternatif
Menurut laman Ruqyah Rawatan Islam Alternatif dalam perbualan topik 'Mengenali Jin & Alamnya dan Rawatan Gangguan Makhluk Halus & Sihir' menyatakan penggunaan wafaq termasuk dalam benda-benda khurafat.
Penggunaan azimat seperti itu adalah sesuatu yang boleh membawa kepada syirik terhadap ALLAH, kata laman tersebut.
"Dari Uqbah Bin Amir: Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa menggantungkan diri kepada tangkal, maka ALLAH tidak menyempurnakan (imannya) dan barang siapa yang menggantungkan diri kepada azimat, maka ALLAH tidak akan mempercayakan kepadanya (Riwayat Ahmad)," memetik sumber.
Difahamkan wafaq sering diletakkan dalam botol atau disalut kain sebagai tangkal dan diletakkan di penjuru rumah, pintu, kedai, klinik atau dalam kereta, menurut sumber.
"Ia dipercayai dapat mencegah gangguan manusia, jin, dan syaitan. Wafaq ini biasanya ditulis di atas kertas, kayu atau tembaga.
"Huruf yang kelihatan macam kaligrafi ayat-ayat al-Quran atau nama-nama ALLAH tetapi isinya ternyata bukan.
"Wafaq yang dinamakan tapak Rasulullah SAW yang digunakan sebagai pelindung dan ramai yang menyimpannya di dalam kereta atau dalam beg dan sebagainya," memetik penulisan itu.
Penggunaan sebarang tangkal atau wafaq adalah dilarang dalam Islam.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi topikn 'Irsyad Hukum 257: Hukum Amalan Pelaris Oleh Peniaga' menjelaskan meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris bagi menarik pelanggan serta melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
"Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِن الرُقى والتمائِم والتِولة شِرك
Maksudnya: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.” Riwayat Imam Ahmad (3615), Abu Daud (3883) dan Ibnu Majah (3530)
Memetik hadis dalam laman tersebut, Imam al-Munawi berkata: Menggunakan tangkal dianggap syirik kerana bererti seseorang itu meyakini ia dapat memberi pengaruh (ta’thir) dan ia boleh membawa syirik kepada ALLAH.
"Ibn Al-Athir seperti mana dinukilkan oleh Syeikh Mulla Ali Al-Qari, berkata: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal dan yang seumpama dengan kedua-duanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya.
"Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. (Mirqat al-Mafatih, 7/2882)
"Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya pernah menyebut: “Sesiapa yang mempercayai sesuatu khurafat seperti kayu kokka (sebagai tangkal pelindung yang) dapat menghindarkan syaitan dan iblis, memurahkan rezeki dan menyembuhkan penyakit, ia adalah pelaku syirik kerana segala itu adalah hak ALLAH SWT semata-mata.” menurut sumber. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram