RAMAI dalam kalangan kita yang masih tidak tahu mengenai hukum ibu tumpang dalam perspektif agama dan undang-undang sedangkan isu sebegitu semakin relevan dalam masyarakat moden.
Kepada anda yang mungkin tidak tahu, ibu tumpang adalah melibatkan seorang wanita mengandung dan melahirkan anak bagi pihak pasangan lain yang tidak mampu memiliki anak.
Dapat dikaitkan perkara itu dengan drama terbaharu bertajuk 'Senyawa' yang kini menjadi bual mulut warga maya hingga mencetuskan persoalan dan pemahaman tentang hukum-hakam yang masih kabur mengenai khidmat tersebut.
Jadi adalah penting untuk masyarakat memahami dengan jelas hukum-hukum yang terlibat agar tidak timbul kekeliruan atau salah faham mengenai perkara tersebut.
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam topik 'Irsyad Hukum Ke-130: Hukum Terhadap Penggunaan Ibu Tumpang (Surrogate Mother)', menyatakan jumhur ulama dan badan fatwa terkemuka termasuk Majma’ al-Fiqh al-Islami (Arab Saudi) dan Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Mesir) mengharamkan semua kaedah itu.
"Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah melalui fatwanya yang dikeluarkan melalui Dar al-Ifta al-Misriyyah menyebut:
“Adapun menyewa rahim hukumnya adalah haram mengikut syarak. Fatwa Majma’ al-Buhuts al-Islamiyyah telah mengeluarkan keputusan nombor 1 pada 29 Mac 2001 yang mengharamkan penyewaan rahim.
"Para ulama fiqh kontemporari juga sepakat mengenai keharamannya. Salah satu sebabnya adalah kerana tidak dapat dipastikan siapa ibu yang sebenarnya bagi bayi itu disebabkan terdapat pihak ketiga (pemilik rahim yang disewa).
"Sehingga timbul permasalahan tentang siapakah yang lebih berhak menjadi ibu bayi itu. Apakah wanita pemilik sel telur (ovum) yang darinya tercipta janin itu dan yang membawa seluruh sifat, atau wanita yang di dalam rahimnya seluruh proses perkembangan bayi itu berlaku sehingga menjadi janin yang sempurna?
"Adanya perselisihan dan perdebatan yang besar seperti ini bertentangan dengan tujuan dan maksud syariat Islam yang meraikan kestabilan, ketenteraman dan menghilangkan pertikaian atau membatasinya kadar yang selayaknya," memetik sumber.
Fatwa-fatwa itu menyebutkan bahawa kaedah ibu tumpang adalah haram kerana ia menimbulkan kekeliruan nasab (keturunan) bayi yang bertentangan dengan prinsip Islam dalam menjaga keturunan dan kestabilan keluarga.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri berkata, beberapa negeri di Malaysia seperti Pahang dan Selangor mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan kaedah tersebut.
"Mereka berpendapat bahawa walaupun sperma dan ovum diambil daripada pasangan suami isteri yang sah, kaedah ibu tumpang tetap mengundang kekeliruan mengenai nasab anak yang boleh menyebabkan masalah keturunan dan identiti.
"Penggunaan kaedah ibu tumpang jelas diharamkan dalam Islam kerana ia berisiko menimbulkan kecelaruan nasab, identiti dan keturunan yang boleh menyebabkan perselisihan dan pergaduhan.
"Hukum ini juga bertepatan dengan prinsip maqasid syari'ah iaitu hifz al-nasl (memelihara nasab).
"Dalam Islam, anak adalah rezeki daripada ALLAH SWT yang diberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan sebarang usaha untuk mencapainya di luar cara yang dibenarkan oleh syariat adalah haram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram