DALAM Islam, setiap kelahiran anak adalah perkara yang sering dinantikan oleh para ibu bapa dan biasanya akan diraikan dengan majlis akikah bagi mendapat berkat.
Namun di sebalik tradisi itu, terdapat hukum dan hikmah yang perlu difahami kerana ia bukan sekadar adat tetapi juga amanah bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak dengan nilai-nilai agama yang kukuh.
Apakah sebenarnya hukum jika ibu bapa tidak melakukan akikah? Adakah berdosa dan sekiranya tidak mampu apa yang perlu dibuat, pernah anda terfikir?
Mengulas lebih lanjut, fitrahummah menerusi TikToknya ada menjelaskan bahawa akikah adalah sunat mu'akkadah yang bermaksud ia sangat dituntut tetapi ia bukan wajib dan bukan juga bida’ah.
Menurutnya, hukum bagi ibu bapa yang tidak melakukan akikah untuk anak-anak adalah tidak berdosa.
"Namun, ibu bapa perlu menyedari bahawa mereka akan sangat rugi jika tidak melakukannya kerana ia baik untuk anak-anak mahupun untuk diri mereka sendiri.
"Akikah sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa yang berkemampuan.
"Jika tidak mampu, boleh meminta bantuan daripada datuk nenek atau ahli keluarga lain untuk melaksanakan akikah bagi anak-anak kita.
"Ini kerana akikah hanya dilakukan sekali seumur hidup. Yang penting, fadilatnya akan diperoleh oleh anak dan juga ibu bapa.
"Jadi, walaupun akikah tidak wajib, sebaiknya ia dilakukan kerana fadilatnya sangat besar," katanya.
Menurut perkongsian fitrahummah itu menyarankan kepada individu yang tidak mampu melakukan akikah adalah disarankan supaya berdoa pada ALLAH supaya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan untuk membuat akikah anak-anak.
"Kemampuan seseorang melakukan akikah adalah disunatkan bagi seseorang melakukannya melainkan jika dia kaya seperti dalam bab zakat fitrah iaitu orang yang wajib memberi zakat fitrah sebelum berlalu tempoh sebanyak-banyak nifas (60 hari)," kongsinya.
Sementara itu, memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi perkongsian sebuah hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibas yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”. Riwayat Abu Daud (2841)
"Hukum akikah adalah sunat mu'akkadah (sangat digalakkan) dan bukannya wajib.
"Maka meninggalkannya tanpa keuzuran adalah makruh dan bukannya maksiat.
"Begitu juga jika ditinggalkan akikah itu kerana tidak mampu, maka tidak haram mahupun makruh.
"Sebahagian ulama Syafieyyah yang terkemudian (mutaakhkhirin) berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan akikah kemudian menjadi senang selepas tujuh hari kelahiran maka tidak sunat lagi untuk melakukan akikah.
"Manakala sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Pendapat yang rajih (tepat) dalam mazhab al-Syafie bahawa hukum sunatnya kekal sehingga anak itu baligh.
"Para ulama Syafieyyah berpendapat bahawa akikah dituntut ke atas al-asl (seperti ayah dan datuk) kerana dia wajib menafkahi bayi itu dan bayi dianggap fakir.
"Akikah hendaklah ditunaikan bukan menggunakan harta anaknya sebaliknya menggunakan hartanya sendiri.
"Namun apabila anak itu baligh sebelum sempat diakikahkan maka sunat bagi anak tersebut untuk mengakikahkan dirinya sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram