KHATAN mahupun bersunat merupakan amalan yang sangat dihormati dalam Islam dan dianggap sebagai salah satu tanda kepatuhan kepada ajaran agama.
Praktik tersebut tidak hanya berkaitan dengan aspek kesihatan dan kebersihan tetapi juga melambangkan identiti dan komitmen umat Muslim.
Dalam sejarah Islam, Nabi Ibrahim AS menjadi contoh penting apabila baginda melaksanakan khatan pada umur 80 tahun.
Berkhatan adalah amalan sunnah dalam agama Islam. — Vocket
Mesti segelintir daripada anda belum mengetahui tentang sejarah berkhatan Nabi Ibrahim AS, manusia pertama yang melaksanakan sunnah itu kan?
Memetik penulisan Agung Ilham Setiadi dari laman Eduhistoria menceritakan Nabi Ibrahim AS melakukan khatan pada umur 80 tahun.
Menurut sumber berkenaan, terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentang proses khatan yang dialami oleh Nabi Ibrahim AS.
"Dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Nabi Ibrahim AS dikhatankan pada umur 80 tahun.
"Dalam hadis riwayat (HR Bukhari dan Muslim), Rasulullah SAW bersabda:
اختتن إبراهيم عليه السلام وهو ابن ثمانين سنة بالقدوم
"Ibrahim al-Khalil berkhatan setelah mencapai umur 80 tahun dan baginda berkhatan menggunakan kampak (kapak).
"Imam Ibnu Katsir dalam penulisan bukunya Kisah Para Nabi menyatakan bahawa 'kampak' ini adalah alat yang digunakan oleh tukang kayu.
"Ada juga yang menyebut bahawa 'qadum' adalah nama sebuah tempat yang bermaksud baginda disunat di daerah Qadum.
"Namun, dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW juga menyebutkan:
"Umur Nabi Ibrahim ketika dikhatan telah mencapai 120 tahun. Kemudian setelah itu, Ibrahim masih menjalani kehidupannya selama 80 tahun." (HR. Ibnu Hibban dalam kitab shahihnya).
"Dari kedua hadis tersebut dapat disimpulkan bahawa berkemungkinan Nabi Ibrahim dikhatankan pada umur lebih dari 80 tahun," memetik Eduhistoria.
Penulisan Agung Ilham Setiadi itu ada menjelaskan selain ibadah korban, Nabi Ibrahim juga mengajarkan umat Islam untuk melaksanakan khatan atau bersunat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyatakan:
"Nabi Ibrahim adalah orang yang pertama kali memakai seluar panjang, membersihkan rambut yang kotor, mencukur bulu kemaluan dan juga orang yang pertama kali melakukan khatan dengan kapak ketika baginda berusia 80 tahun.
"Baginda dikenali sebagai orang yang pertama kali menjamu tetamu dan orang yang pertama kali rambutnya beruban." (HR Ibnu Hibban).
"Nabi Ibrahim adalah salah seorang nabi yang memiliki figura penting dalam sejarah Islam.
"Baginda dikenali sebagai Khalilullah yang bermaksud 'sahabat ALLAH'," memetik sumber. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram