[VIDEO] Khurafat percaya boleh potong kuku pada hari tertentu, pendakwah perjelas tiada larangan khusus dalam Islam


  • Mukmin
  • Jumaat, 08 Nov 2024

Menurut hadis Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat larangan khusus yang melarang pemotongan kuku pada hari-hari tertentu.

ISU mengenai larangan memotong kuku pada hari tertentu sering timbul dalam perbincangan masyarakat.

Namun menurut hadis Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat larangan khusus yang melarang pemotongan kuku pada hari-hari tertentu.

Sesetengah dakwaan yang menyebut adanya hari-hari yang haram memotong kuku adalah dianggap tidak berasas dan ia mungkin hanya dikemukakan dalam kitab-kitab tertentu yang tidak jelas atau salah tafsiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak berdosa jika kelahiran bayi tanpa disusuli akikah, ibu bapa kurang mampu boleh minta bantuan famili terdekat

BACA LAGI: [VIDEO] Perkongsian Nora Danish-Neelofa penting cari reda ALLAH dalam perkahwinan, pakar motivasi nasihat penting pilih pasangan bertanggungjawab bukan semata cinta

Namun menurut perkongsian pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, terdapat beberapa situasi memotong kuku dan rambut adalah dilarang atau tidak digalakkan berdasarkan ajaran Islam.

Katanya, terdapat tiga situasi utama yang perlu diketahui hukumnya makruh (tidak digalakkan) iaitu pada 1 Zulhijah ketika seseorang hendak melakukan ibadah korban adalah makruh untuk memotong kuku atau rambut.

"Ini hanya berlaku pada hari-hari awal bulan Zulhijah sehingga seseorang itu menyembelih korban mereka.

"Hukum haram pula larangan ini berlaku bagi seseorang yang sudah berniat untuk menunaikan ibadah haji atau umrah.

"Sebaik sahaja mereka memasuki keadaan ihram adalah haram bagi mereka untuk memotong kuku, rambut atau bulu tubuh sehingga mereka menyelesaikan ibadah haji atau umrah tersebut.

"Manakala haram semasa mengurus jenazah (sebagai tambahan adalah haram untuk memotong kuku atau rambut mayat semasa proses memandikan jenazah).

"Ini adalah berdasarkan kepada adab-adab pengurusan jenazah dalam Islam.

"Dengan itu, tiada larangan khusus untuk memotong kuku pada hari-hari tertentu seperti yang sering diperkatakan melainkan dalam situasi-situasi yang telah disebutkan di atas," jelasnya.

Perkara itu dapat diperkuat oleh satu perkongsian dari penceramah terkenal Indonesia, Habib Rifky Alaydrus yang berkata, terdapat beberapa kepercayaan tersebar mengenai hari-hari tertentu untuk memotong kuku.

Kata beliau, kononnya memotong kuku pada hari Isnin, Khamis, dan Jumaat disunahkan tetapi tiada hadis sahih yang menguatkan hal itu malah sebaliknya terdapat beberapa kepercayaan yang tidak berasas, seperti:

- Hari Selasa: Memotong kuku boleh menyebabkan kemiskinan.

- Hari Rabu: Penyakit yang dipotong kukunya tidak akan sembuh.

- Hari Sabtu: Jodoh akan dijauhkan oleh ALLAH.

- Hari Ahad: Tidak akan mendapat rahmat dari ALLAH.

Selain itu, ada juga kepercayaan yang mengatakan bahawa memotong kuku di dalam rumah boleh mendatangkan rezeki yang kurang baik dan disarankan untuk memotongnya di luar rumah.

Namun, semua kepercayaan itu tidak mempunyai sandaran hadis yang sahih dan dianggap sebagai khurafat.

Yang lebih utama adalah menjaga kebersihan dan memotong kuku dengan cara yang baik tanpa terikat kepada mitos tersebut, jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram