Tiga puncak baharu dibuka di Gunung Kinabalu, Kartina hasilkan 5 lagi aplikasi 'rahsia'


Difahamkan Kartina Abdul Ghani itu bakal menawan puncak Gunung Kinabalu kali ke tujuh bagi membangunkan aplikasi itu.

PADA usia 53 tahun bukanlah sesuatu yang mudah bagi seorang ibu tunggal mengharungi cabaran mendaki puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

Namun bagi Kartina Abdul Ghani itu berjaya mengharungi cabaran luar biasa dengan mendaki Gunung Kinabalu bagi menerbitkan empat aplikasi mudah alih sekali gus menjadikan dirinya contoh inspirasi bagi wanita di luar sana.

Setelah tiga dekad tidak aktif, beliau yang mesra disapa Kartina memulakan ekspedisi itu sebagai langkah untuk meningkatkan tahap kesihatan dan stamina.

BACA LAGI: Kelab pertama bakal miliki hospital sendiri jana pendapatan, DSAT Group terus 'up' tawaran jika miliki Kedah

BACA LAGI: Legenda Terengganu akui bola sepak Malaysia perlukan TMJ

PHOTO-2024-10-30-14-56-06

Mendaki Gunung Kinabalu adalah satu impian yang ingin dicapai satu ketika dahulu oleh Kartini.

"Setelah melahirkan lima orang anak dan dengan berat badan 90 kilogram, saya sedar perlu ada motivasi untuk mencabar diri.

"Mendaki Gunung Kinabalu adalah satu impian yang ingin saya capai satu ketika dahulu," katanya dengan penuh semangat.

Ekspedisi itu bukan sekadar untuk mencapai puncak, tetapi juga untuk memberikan inspirasi kepada orang lain terutama wanita.

Dalam perkongsiannya, ketika perjalanan mendaki, dia menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pendakian ketiga apabila terperangkap dalam cuaca buruk akibat ribut.

"Kami terpaksa berlindung dan menghadapi angin kencang tetapi saya merasa tenang kerana kami dilengkapi dengan tali dan panduan pihak yang berpengalaman," jelasnya.

Pengalaman itu menurutnya bukan hanya menguji ketahanan fizikalnya tetapi juga mental.

Kartina dalam pada itu juga mengungkapkan tentang perniagaannya yang berfokus pada pembangunan aplikasi mudah alih.

Melalui ekspedisi itu, dia berharap dapat mempromosikan produk yang dihasilkan serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi dalam aktiviti luar.

"Kami ingin mencipta aplikasi yang memudahkan orang ramai untuk mengakses maklumat tentang Sabah dan aktiviti mendaki," tambahnya.

Dia juga merancang untuk membangunkan lima aplikasi yang sememangnya berkisar tentang Sabah memilih untuk merahsiakan rancangannya itu.

"Buat masa ini, semua fokus kami adalah tentang Sabah terutamanya kerana banyak aktiviti yang dilakukan adalah di Gunung Kinabalu.

"InsyaALLAH, kita merancang untuk menerbitkan lima aplikasi lagi dan tidak akan mengulas banyak tentang itu sekarang dan akan dikongsikan lebih lanjut nanti.

"Kami ingin memberi fokus kepada Sabah dengan menerbitkan maklumat yang mendalam dan setakat ini kami telah menerbitkan beberapa aplikasi seperti 'Visit Sabah', 'Sabah Schoolpedia' dan 'Sabah Greeting Cards' dengan tema wallpaper.

"Sabah mempunyai pelbagai upacara dan perayaan yang berbeza daripada di Semenanjung dan kami memasukkan elemen-elemen itu dalam aplikasi kami.

"Seterusnya, kami juga sedang merancang untuk menerbitkan lebih banyak maklumat tentang kehidupan liar di Sabah dan akan mengeluarkan beberapa aplikasi lagi yang berkaitan dengan Sabah.

"Dua daripadanya akan lebih fokus kepada Malaysia. InsyaALLAH, kami akan kongsikan cerita lebih lanjut tentang kemajuan ini," katanya.

PHOTO-2024-10-17-09-54-57

Melalui ekspedisi itu, dia berharap dapat mempromosikan produk yang dihasilkan serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi dalam aktiviti luar.

Sementara itu, Penolong Pengurus Taman Bahagian Pengurusan dan Operasi Taman-Taman Sabah, Julaimin Kamin berkata, pihaknya turut memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ekspedisi itu bagi menjayakan pembangunan aplikasi tersebut.

"Gunung Kinabalu bukan sahaja destinasi pelancongan, tetapi kini juga menjadi pusat latihan altitud yang menawarkan peluang bagi pendaki untuk bersiap sedia menghadapi cabaran lebih tinggi," katanya.

"Seperti yang kita ketahui, Gunung Kinabalu kini telah dijadikan sebagai pusat latihan aras tinggi.

"Ini merupakan langkah yang tepat terutama bagi mereka yang bercadang untuk mendaki ke pergunungan yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan perkara yang ditawarkan oleh pusat latihan tersebut, Julaimin Kamin berkata, latihan pendakian aras tinggi di Gunung Kinabalu sudah lama dirancang oleh Kerajaan Negeri.

"Inisiatif ini diinspirasikan oleh kerajaan sendiri dan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah telah menjadikannya sebagai satu produk yang berharga.

"Gunung Kinabalu terletak dalam kawasan Taman-Taman Sabah dan atas idea Kerajaan Negeri Sabah, jadi kita telah merealisasikannya di peringkat Taman-Taman Sabah.

"Pada 17 Oktober 2024, pusat latihan aras tinggi Gunung Kinabalu telah dilancarkan sehari selepas Kartina memulakan aktiviti latihan di gunung tersebut.

"Apa yang ditawarkan adalah program latihan yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan penggiat aktiviti lasak, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga bagi peserta antarabangsa.

"Pusat Latihan ini bertujuan untuk menjadi pusat bagi penggiat aktiviti lasak, memberikan mereka peluang untuk melakukan latihan pembiasaan awal di Gunung Kinabalu.

"Dengan keunikan dan cabaran yang ditawarkan oleh gunung ini, kami berusaha untuk menyampaikan pengalaman yang bermanfaat kepada semua peserta.

"Kami sangat berharap agar pusat latihan ini dapat memberi manfaat kepada semua yang ingin mengembangkan kemahiran dan pengalaman mereka dalam aktiviti pendakian.

"Kami telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan setiap pendaki memiliki kualiti yang diperlukan sebelum mendaki gunung yang lebih ekstrem.

"Pendaki perlu membuat permohonan dalam talian mendapatkan pengesahan kesihatan dari doktor dan menunjukkan sijil yang membuktikan mereka adalah pendaki aktif yang telah mendaki lebih dari 2,000 meter dari aras laut.

"Sehari sebelum pendakian, mereka perlu hadir di Taman Kinabalu pada ketinggian 1,500 meter dan bermalam di sana sebagai sebahagian daripada pakej pembiasaan.

"Pada hari pertama, pendaki akan menyelesaikan pendaftaran dan menjalani aktiviti pembiasaan.

"Pada hari kedua, mereka akan mendaki ke Base Camp Panalaban yang terletak pada ketinggian 3,272 meter dan proses aklimatisasi akan dilakukan di kilometer 6.2, dengan pendaki perlu tiba di Base Camp sebelum jam 3 petang.

"Setelah aklimatisasi (upaya penyesuaian fisiologis atau adaptasi terhadap suatu lingkungan baru yang akan dimasuki), pendaki akan kembali ke Panalaban untuk berehat dan pada hari seterusnya, mereka akan mendaki ke Lost Peak yang lebih tinggi daripada Base Camp.

"Kami juga telah membuka puncak baru termasuk Puncak Oyayubi, Puncak Alexandra dan Puncak Victoria, untuk memberikan pendedahan awal kepada teknik pendakian yang lebih kompleks.

"Pendaki perlu memeriksa bacaan kandungan oksigen di beberapa lokasi, termasuk di Panalaban 6.2 dan puncak.

"Dengan semua langkah ini, pendakian di Gunung Kinabalu dapat memberikan pengalaman aklimatisasi yang efektif sama dengan yang dilakukan di Everest apabila pendaki naik, turun dan naik lagi ke kem seterusnya," katanya mengulas lanjut bentuk sokongan yang diberikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram