TULAR perkongsian video pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz yang meluahkan rasa kesal apabila diganggu individu lelaki dikatakan gay (suka sesama jantina) ketika berada di tanah suci Makkah.
Ekoran kejadian itu, terdapat warga maya yang menyalahkan atau mengkritik mangsa kerana penampilannya yang dianggap feminin atau tidak berjanggut.
Isu berkenaan menjadi bual mulut warga maya malah mendapat perhatian Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin.
Beliau berpendapat gangguan seksual sejenis itu tidak hanya berlaku kepada individu berwajah 'jambu' (feminin) atau tidak.
"Rasanya dalam video itu beliau memang berbaju Melayu dan songkok.
"Tentang wajah atau janggut pula memang ada orang yang sebegitu rupanya, susah tumbuh janggut dan kelihatan 'jambu'.
"Orang yang kelihatan 'jambu', kalau berjanggut jambang pun kadang-kadang masih juga kelihatan aura jambunya," tulisnya.
Dr Kamilin Jamilin turut berkongsi pengalamannya ketika belajar di Madinah dan bersahabat dengan seorang lelaki dari Dagestan, yang kelihatan maskulin dengan tubuh badan besar serta gagah, tetapi pernah didekati oleh lelaki Arab.
Kawan itu tidak mengendahkan dan bersikap selamba, tetapi akhirnya dia menerima satu tamparan daripada sahabat penulis hingga terkejut.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat dua jenis lelaki yang terlibat dalam situasi sebegitu.
"Satu yang tertarik kepada lelaki lembut untuk dijadikan sebagai 'perempuan' dan satu lagi yang tertarik kepada lelaki gagah untuk dijadikan sebagai 'lelaki'.
"Jangan ingat yang sado-sado (berbadan sasa), berjanggut dan berjambang ni dah selamat kome!," katanya.
Beliau menekankan bahawa walaupun Tanah Haram (Makkah dan Madinah) dianggap suci, ia tidak menjamin bahawa semua orang yang berada di sana adalah baik atau suci.
Namun, mereka yang mencemari kesucian tempat tersebut akan menerima laknat dan hukuman yang berat.
"Kehadiran individu yang tidak baik di dalam tanah suci tidak mengurangkan kemuliaan tempat tersebut kerana kita tidak menyembah manusia yang berada di sana tetapi menyembah Tuhan yang memuliakan tempat tersebut sebagai sebahagian dari ciptaan-Nya", jelasnya.
Menjengah di ruangan komen, ada yang berpendapat bahawa pada zaman akhir adalah sukar untuk mengenali seseorang hanya melalui penampilan seperti berjambang.
"Hanya individu itu sendiri yang dapat menunjukkan siapa mereka yang sebenar.
Setiap orang mempunyai selera dan kecenderungan yang berbeza... semoga ALLAH melindungi semua daripada fitnah ujian di dunia dan akhirat," komen Nuhrul Azuwad Hashim.
"Moga anak-anak kita dijauhkan daripada individu sebegini. Dunia akhir zaman memang penuh cabaran... lelaki pun dah tak selamat.
"Memang menakutkan bila terbaca banyak kes sebegini.. Moga kita sentiasa dalam lindungan ALLAH SWT," komen Salina Sahid.
Ana Nain, salah seorang pengguna turut berkongsi pengalaman ketika berada di Yaman apabila rakanya pernah diajak dan disentuh kemaluan oleh 'pak Arab' semasa dalam kenderaan e-hailing.
"Maklumlah, kenderaan e-hailing kat sana masa itu selagi boleh padat, dia padat sampai enam ke tujuh orang masuk.. muka kawan saya tu tak jambu mana pun...," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram