DALAM menjalani kehidupan, kita sering berhadapan dengan situasi yang melibatkan hak dan kepunyaan orang lain.
Mengambil barang milik orang tanpa izin adalah satu kesalahan yang bukan sahaja melanggar etika bahkan tidak kena dengan norma agama Islam.
Jadi adalah penting untuk memahami langkah-langkah yang perlu diambil jika kita pernah terlanjur dalam tindakan tersebut, termasuk cara mengembalikan barang dan memohon keampunan.
Ustaz Azhar Idrus berkata mengambil barang orang lain tanpa izin adalah haram. — Facebook UAI
Mungkin ada antara anda sendiri pernah mengalami situasi sebegini ketika mana tinggal di asrama dan menggunakan barang keperluan seperti sabun baju dan selipar milik rakan tanpa meminta izin mereka.
Malah, jika barang-barang tersebut belum dikembalikan dan rakan sudah berpindah ke tempat lain, menjadikan kita lebih sukar untuk mengembalikannya.
Tindakan tersebut perlu diselesaikan dengan cara yang baik dan bagaimana cara yang seharusnya dilakukan kalau mengikut Islam?
Menerusi satu perkongsian oleh Ustaz Azhar Idrus menerusi laman Facebooknya menyatakan bahawa mengambil barang orang lain tanpa izin adalah haram.
Menurutnya, seseorang yang pernah melakukan perkara itu wajib bertaubat dan mengembalikan barang tersebut kepada pemiliknya.
"Jika pemilik sudah meninggal, kita perlu serahkan kepada warisnya.
"Jika pemilik telah berpindah, kita wajib mencari pemilik tersebut dan kembalikan harta kepadanya atau kepada warisnya dan meminta maaf.
"Jika pada adatnya sudah putus asa dari bertemu pemiliknya atau warisnya maka bolehlah dia bersedekah harta tersebut atau nilainya," kongsinya.
Pendakwah asal Terengganu itu turut berkongsikan petikan Imam Ghazali yang pernah berkata:
يجب أن ترده عليه, إن أمكنك, فإن عجزت عن ذلك, لعدم أو فقر, فتستحل منه. وإن عجزت عن ذلك لغيبة الرجل أو موته, وأمكن التصدق عنه, فافعل, فإن لم يمكن, فعليك بتكثير حسناتك, والرجوع إلى الله تعالى بالتضرع, والابتهال إليه أن يرضيه عنك يوم القيامة
Maksudnya: “Wajib kamu kembalikan harta yang diambil ke atasnya jika dapat. Maka jika kamu tidak mampu dari pulangkan harta atau bayar gantinya kerana harta sudah itu sudah tiada dan kamu miskin tidak dapat mengganti nilainya maka hendaklah kamu minta halal daripadanya.
"Maka jika kamu tidak mampu juga yang demikian itu kerana pemiliknya tidak dijumpai atau telah mati dan kamu boleh bersedekah maka sedekahlah.
"Maka jika kamu tidak mampu bersedekah maka banyakkan berbuat amal soleh dan kembali kepada ALLAH dengan merendah diri dan bertaubat sungguh-sungguh kepada-Nya mudah-mudahan ALLAH meredai kamu pada hari kiamat.” (Kitab Minhaj Al-Abidin)
"Hendaklah sedekah yang dilakukan itu diniatkan atas nama pemiliknya semoga menjadi pahala ke atas pemiliknya di akhirat sana," jelas Azhar.
Adalah dibolehkan untuk sedekah barang yang diambil tanpa izin jika gagal berusaha mengikuti panduan turutan yang dikongsikan. — Hijabista
Pendakwah bebas itu juga memetik penulisan Imam Ibnu Al-Qayyim:
فإِن تعذر ذلِك, تصدق بِهِ عنهُ, فإِنِ اختار صاحِبُ الحقِ ثوابهُ يوم القِيامةِ, كان لهُ. وإِن أبى إِلا أن يأخُذ مِن حسناتِ القابِضِ, استوفى مِنهُ نظِير مالِهِ, وكان ثوابُ الصدقةِ لِلمُتصدِقِ بِها, كما ثبت عنِ الصحابةِ رضي الله عنهم
Maksudnya: “Maka jika lemah dari yang demikian itu yakni tidak dapat menemuinya maka sedekahlah dengan harta itu daripadanya. Maka jika pemiliknya hendak memilih pahala sedekah itu pada hari kiamat nescaya jadilah pahala itu baginya.
"Dan jika pemilik itu enggan dari menerima pahala tersebut jadilah ia menyempurnakan apa yang kurang daripada bandingan hartanya dan adalah pahala sedekah itu bagi yang bersedekah dengannya sepertimana yang sabit daripada sahabat r.a.”. (Kitab Zadul Ma’ad)
Menerusi perkongsian itu, Azhar meringkaskan bahawa turutan yang perlu dilakukan adalah seperti yang berikut:
1. Wajib bertaubat dan dikembalikan harta yang diambil cara yang tidak benar kepada tuan harta dan meminta maaf daripadanya.
2. Jika harta tersebut sudah tiada maka wajib dibayar akan harganya.
3. Jika tidak mampu membayarnya sebab miskin maka hendaklah meminta halal daripadanya.
4. Jika tuan harta sudah mati maka wajib diserahkan kepada warisnya.
5. Jika tuan harta sudah pindah maka wajib mencari tuan harta dan warisnya.
6. Jika semua cara di atas tidak berjaya maka bolehlah disedekahkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram