Tak ada niat tapi buat gimik bercerai demi 'marketing' tetap berdosa, tegas pakar agama


  • Mukmin
  • Rabu, 25 Sep 2024

Mencanang hal pergaduhan rumah tangga di media sosial sebagai konten peribadi dilihat semakin menjadi-jadi. — mStar

ISU mengenai rumah tangga akhir-akhir ini sering kali dilihat dikontenkan di media sosial seakan-akan dianggap trend dan perkara biasa.

Hal itu tidak terkecuali apabila artis, pempengaruh media sosial mahupun orang biasa mencanang hal rumah tangga untuk dijadikan konten tanpa ada rasa malu dan bersalah.

Ada juga sebahagian dari mereka tidak ada niat untuk bercerai tetapi menjadikan gimik 'bercerai' untuk memasarkan produk mereka misalnya.

BACA LAGI: Islam tak ajar rotan anak berlebihan, hanya terhad kepada pelanggaran solat sahaja — Suhakam

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sah solat baca al-Fatihah sekadar angin atau dalam hati, cuma jangan sampai ganggu makmum sebelah

@yousyudknow Bercerai pun content. Kahwin lain pun content. Kata Ally Iskandar dalam episode terbaru You Syu’D Know Podcast. Full episode ada di link di bio kite. Jom tengok. #yousyudknow #podcast #malaysianpodcast #tvhost #broadcastjournalist #tvpersonality #mhi #tv3 #mediaprima #primeworksstudios #allyiskandar #content #bercerai #kahwinlari #values #adab ♬ original sound - You Syu’D Know

Malah ada juga yang menjadikan isu bercerai sebagai konten untuk tujuan peribadinya sendiri.

Melihat kepada situasi itu, pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berkata, dalam syariat Islam terdapat satu topik besar yang dikategorikan sebagai rahsia rumah tangga.

"Setiap individu walaupun sudah berkahwin sepuluh kali pun apabila hidup sendirian berkemungkinan 70 peratus daripada kehidupannya adalah rahsia.

"Kehidupan peribadi seseorang di rumah sering kali tidak diketahui oleh orang lain, termasuk aktiviti harian, minat dan tempat yang dikunjungi.

"Sebahagian besar (70 peratus) aspek tersebut adalah rahsia yang hanya diketahui oleh individu itu sendiri.

"Namun, dalam aspek rumah tangga keadaannya adalah berbeza dan isteri biasanya akan mengetahui 70 hingga 100 peratus tentang suaminya," katanya kepada Majoriti.

Beliau mengulas lanjut berkata, syariat Islam menetapkan garis peraturan yang ketat mengenai rahsia rumah tangga.

"Jika kita merujuk kepada al-Quran, hukum ini dianggap serius kerana ALLAH menyebutnya dalam surah at-Tahrim.

"ALLAH melarang isteri nabi dari membuka isu rumah tangga dan berhati-hati dalam menjaga aib suami.

"Dari sudut hukum, suami juga perlu menjaga aib isteri.

"Di Amerika Syarikat, kadar perceraian dalam tempoh dua tahun telah mencapai 80 peratus dan salah satu isu utama adalah kehadiran orang ketiga.

"Orang ketiga ini biasanya mengetahui rahsia rumah tangga yang sepatutnya tidak didedahkan.

"Islam menetapkan bahawa jika ada aib rumah tangga yang perlu dibincangkan dengan orang ketiga yang hanya boleh dilakukan untuk tujuan menyelesaikan masalah.

"Contohnya, membawa isu tersebut kepada ibu atau ibu mentua untuk memulihkan kebahagiaan rumah tangga.

"Tujuannya jelas dan baik iaitu untuk menyelesaikan masalah rumah tangga tetapi jika tujuannya berbeza seperti untuk karier, pandangannya mungkin berbeza misalnya dalam kalangan artis.

"Sekirannya seseorang beranggapan bahawa jika tidak melakukan perkara tersebut (menjadikan isu rumah tangga sebagai konten), kariernya akan merosot dan dia akan menjadi tidak relevan.

"Jika dia perlu mengekalkan populariti untuk terus bersaing.

553

Dalam sesebuah perkahwinan, isteri mungkin mengetahui rahsia dan juga aib suami dan ia perlu dijaga dengan baik. — mStar

"Pandangan saya, misalnya artis yang bergantung pada gosip dan masalah rumah tangga untuk kekal relevan tidak akan bertahan lama.

"Mereka perlu sedar bahawa menggunakan isu peribadi sebagai modal untuk populariti akan menyebabkan mereka cepat hilang relevan.

"Apa pun dosa yang kita lakukan untuk kekal relevan, ia akan membawa kesan buruk kepada kita.

"Tiada kebaikan yang boleh diperoleh daripada dosa dan dalam kes rumah tangga yang diperkatakan banyak yang mungkin direka dan bukan fakta sebenar.

"Contohnya, dalam kes artis, spekulasi mengenai masalah mereka mula timbul.

"Ini membawa kepada fitnah antara penyokong kedua-dua pihak si isteri dan suami yang membawa kepada dosa lain dan boleh menyumbang kepada pelbagai dosa seperti fitnah, mengumpat dan mengutuk.

"Dosa-dosa ini akan kelihatan yang pada awalnya hanyalah dosa kecil dan ia boleh berkembang menjadi masalah yang besar.

"Dalam industri, jika artis bergaduh, mereka seharusnya memfokuskan untuk membina karya yang berkualiti.

"Artis yang terperangkap dalam kontroversi menunjukkan karya mereka sudah tidak berkualiti.

"Contohnya, mereka tidak perlu mencipta gosip tentang masalah peribadi untuk menarik perhatian. Orang sudah tahu situasi perkahwinannya tanpa perlu mengungkit isu tersebut.

"Ada juga segelintir orang terkenal mempunyai masalah rumah tangga, namun dia menjaga aib si suami dan tidak menceritakan hal yang bukan-bukan kepada khalayak.

"Masalah dalam rumah tangga kadang-kadang boleh menjadi tidak dapat dipulihkan, menyebabkan rasa malu antara suami isteri.

"Ini menghalang kebahagiaan mereka dan menciptakan suasana seolah-olah bercerai," katanya.

Suhail berkata, menggunakan lafaz talak atau proses perceraian sebagai bahan untuk populariti adalah haram dan berdosa.

"Jadi, lafaz talak dan proses bercerai ini adalah satu perkara yang memang haram dan berdosa untuk dibuat main-main.

"Apatah lagi untuk dijadikan modal untuk populariti," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram