SEORANG lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri diserang buaya di Kuala Baram, Miri, Sarawak selepas gagal pulang dari memancing pada Ahad ditemui mati pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Lutong Henry Jugah mengesahkan mayat Minggu Ikum ditemui terapung dalam saluran siap digali di ladang kelapa sawit di Kuala Baram, kira-kira empat kilometer dari pos kawalan Bomba (PKB) sekitar 1.45 tengah hari.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), dalam keadaan tangan kiri dan sebahagian kakinya hilang.
BACA LAGI: Kontraktor didakwa bunuh bekas pelumba GP Malaysia
BACA LAGI: Lebih 300 kanak-kanak GISBH diberi pendidikan formal mulai 1 Oktober
"Ketika diperiksa, mayat kehilangan anggota badan pada sebelah tangan dan bahagian kaki kiri," katanya.
Henry Jugah berkata, mayat itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Pada Ahad, anak perempuan mangsa menghubungi balai bomba Lutong untuk mendapatkan bantuan selepas bapanya gagal pulang ke rumah selepas memancing.
Dia berkata, bapanya pergi memancing sekitar pukul 7.30 pagi dan tidak dapat dihubungi.
Keluarga mangsa melakukan pencarian di kawasan itu namun tidak berjaya.
Mereka menemui jaring ikan yang koyak dan kesan yang menunjukkan mangsa mungkin ditarik ke dalam air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram