SEORANG kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis pada Isnin atas pertuduhan membunuh bekas pelumba negara Moto3 dan Cub Prix, Elly Idzlianizar Ilias dua minggu lalu.
Ibrahim Johan, 51, didakwa membunuh Elly Idzlianizar, 40, di persimpangan Taman Behor Gonchar Jaya, Perlis pada 10 September antara pukul 10.30 malam hingga 12.01 pagi.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
BACA LAGI: Hilangnya permata dunia permotoran, bekas pelumba negara meninggal dunia
BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
Terdahulu media melaporkan Elly Idzlianizar Ilias maut akibat pergaduhan di Kangar. — Gambar fail
Ibrahim mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah menetapkan 30 Disember untuk sebutan bagi penyerahan dokumen berkaitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Po'ad manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Yen Sing.
Untuk rekod, Elly Idzlianizar mencipta nama di Grand Prix Malaysia pada 2009 dan memenangi pelbagai perlumbaan bersama pengeluar Yamaha, Honda dan Suzuki. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram